"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan terus dicemuh di hujung usia

Harakahdaily
PARIT BUNTAR, 9 Jun: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan kebimbangan jika Tun Mahathir Mohamad terus mendapat cemuhan dan penghinaan di hujung usia emas yang amat berharga itu.

“Oleh itu saya memohon jasa baik Tun Dr Mahathir atau pihak yang dekat dengannya untuk menggunakan khidmat doktor pakar untuk menguji tahap mental beliau adakah masih dalam keadaan baik atau tidak,” ujarnya.

Katanya, pengesahan dari doktor pakar dirasakaan perlu memandangkan kenyataan bekas perdana menteri itu yang terus menerus dikeluarkan oleh media tempatan boleh menimbulkan pelbagai tanggapan negatif kepadanya dalam keadaan beliau perlu banyak berehat dan menghabiskan waktu pencen bersama keluarga, anak, cucu dan cicit.

“Semoga dengan langkah itu dapat mengekalkan kehormatan rakyat sebagai bekas PM Malaysia pada satu masa dulu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Mahathir yang menulis dalam blognya bahawa Karpal tidak lagi perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya terlebih dahulu jika parti tersebut berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara Islam kerana, perjuangan pengerusi DAP itu sudah pun tercapai tanpa perlu dia bersusah-payah.

"Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan," kata Mahathir dalam blognya.

Nampaknya, kata Khalil, Mahathir telah cuba mengulas mengenai muktamar PAS yang baru berlangsung dan beliau ternyata gagal untuk mengulas dengan baik malah mengeruhkan lagi suasana terutama pandangan kepada tahap mentalnya pada masa sekarang.

“Kenyataan Mahathir menggambarkan sesuatu yang sangat janggal dan tidak masuk akal dengan realiti yang sebenarnya setelah kita mendapati beliaulah yang telah menghalang pelaksanaan enakmen undang-undang jenayah Syariah II yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan di mana di dalamnya terkandung undang-undang hudud,” jelasnya.

Mahathir, katanya telah menghantar satu surat amaran selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 .

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

“Dan sekiranya tidak ada ugutan dari Mahathir saya yakin undang-undang itu telahpun dilaksanakan di Kelantan sehingga sekarang.

“Kerana itu saya sangat hairan dengan apa yang diucapkan oleh Mahathir sejak akhir-akhir ini dan menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena terutama setelah beliau mendapat rawatan di hospital baru-baru ini,” katanya.

Tiada ulasan: