TOKPERAK
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ‘bir’ secara umum diketahui umat Islam adalah haram, dan tentu sekali tidak munasabah digunakan kepada minuman yang tidak beralkohol.
(Rujuk di sini)
Saya pun hairan mengapa ada pihak yang pakai istilah ‘bir’ untuk minuman yang dijual kepada orang Islam. Kalau sudah tahu minuman tersebut tidak beralkohol, kenapa hendak panggil ‘bir’?
Bagi kita ‘bir’ termasuk dalam kategori arak. Seluruh planet bumi tahu – seperti yang ditegaskan dalam al-Quran – bahawa arak adalah haram, dan minum arak adalah salah satu dosa besar.
Tentulah mengaibkan jika dikatakan orang Islam di Malaysia, termasuk para ustaz, minum bir. Orang pun boleh keliru dan bertanya mengapa Jakim halalkan bir?
* MUNGKIN ada pihak yang memang suka dengan istilah ‘bir’. Sama ada disedari atau tidak negara kita telah menghalalkan bir sejak berpuluh tahun lalu, iaitu ‘rut bir’ atau dalam istilah asalnya ‘roots beer’, sejenis minuman tanpa alkohol yang begitu popular. Saya sendiri sebagai Islam tulen telah meneguk ‘bir’ tersebut tiga empat tempayan sejak zaman remaja.
Apa pendapat Jamil Khir dalam hal ini? Saya cadangkan istilah ‘bir’ pada ‘rut bir’ dibuang, dan minuman kegemaran ramai itu disebut hanya ‘rut’.
Sekiranya ‘rut bir’ boleh terus digunakan, nanti ada orang lain yang taasub dengan istilah ‘bir’ ambil kesempatan lalu mencipta minuman tanpa alkohol dan menamakan ‘tebu bir’, ‘tembikai bir’, ‘longan bir’, ‘sirap bir’.
Alangkah aibnya Islam sekiranya setiap gerai, kedai, restoran menjual lebih banyak minuman bir dari minuman jenis lain. Lucu juga sekiranya majlis kenduri tahlil pun dihidangkan ‘bir’ sebagai penghilang dahaga.
* BERCAKAP mengenai istilah yang mengelirukan Islam, sebenarnya bukan setakat ‘bir’. Makanan segera kegemaran ramai ‘hot dog’ pun boleh mengelirukan. Macam mana orang Islam boleh makan ‘anjing panas’?
Opah di kampung Hulu Muar mesti terkejut, malah mungkin pengsan, apabila mendapat tahu cucunya yang baru jadi orang KL sudah pandai makan ‘anjing panas’, dan mula minum ‘bir’.
Satu lagi istilah yang pada hemat saya sengaja digunakan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan orang Islam ialah ‘bacon’. Buka mana-mana kamus Inggeris, istilah tersebut bermaksud ‘daging babi’.
Oxford English Dictionary menyebut ‘bacon’ sebagai ‘salted or smoked meat from a pig’, atau ‘daging babi yang dibubuh garam atau disalai’. Sama seperti arak, babi pun ditegaskan dalam al-Quran sebagai haram.
Tetapi sekarang ‘bacon’ telah dihidangkan kepada umum, termasuk kepada orang Islam, secara terbuka baik di restoran, hotel dan tempat-tempat makan eksklusif. Orang Islam pun makan ‘babi’.
Pihak restoran, hotel dan kedai kek menggunakan istilah ‘bacon’, seperti ‘beef bacon’, ‘chicken bacon’. Mungkin tidak lama lagi akan ada pula ‘arnab bacon’, ‘tenggiri bacon’, ‘patin bacon’, ‘belut bacon’.
Mengapa perlu guna istilah ‘bacon’ untuk daging lembu, ayam dan sebagainya? Apakah tidak boleh gunakan ‘daging lembu salai’ atau ‘ayam salai’. ‘Bacon’ memang daging babi, kenapa hendak dikaitkan dengan lembu atau ayam?
Inilah yang orang kata ‘mengada-ngada’, atau ‘pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar’. Molek sekali pihak berkuasa agama Islam, khasnya Jakim, melarang penggunaan istilah ‘bacon’ untuk daging halal yang dijual kepada pengguna Islam.
* AKHIR kalam, tidak sahaja istilah asing, istilah tempatan juga hendak dikelirukan. Contoh, tidak lama dulu ada pihak dengan idea ‘amat bergeliga’ hendak menjual ‘bak kut teh’ untuk pengguna Islam.
‘Satu Malaya’ tahu bahawa istilah ‘Bak kut teh’ bererti ‘sup babi’, iaitu makanan kegemaran orang Cina. Mana boleh orang Islam makan babi? Konon, nama ‘bak kut teh’ hendak dikekalkan, cuma bahannya bukan dari babi tetapi dari daging halal seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya.
Tidakkah pelik, bodoh, lagi mengelirukan pakai nama ‘sup babi’ tetapi guna bahan daging lembu? Ini betul-betul kes ‘gila-gila babi’.
Syabas kepada NGO-NGO Islam juga Jakim yang peka dan menolak idea kartun ini. Kalau tidak nanti media barat yang anti Islam akan menghina kita dengan tajuk berita ‘Islam di Malaysia makan sup babi’.
-Sinar Harian-
1 ulasan:
Maksud beer (bir) ialah minuman yang berasal dari bijirin, akar, buah2an dan lain-lain yang ditapaikan.
Kalau sekiranya minuman itu tidak berasal dari proses penapaian, maka secara logik namanya tak boleh dipanggil beer.
Walau bagaimanapun, Yong nak tanya ostad2, “Adekah quran dan hadis sebut alcohol?” Tak silap Yong quran dan hadis sebut bahan yang memabukkan itu haram. Ini termasuk bahan yang buat orang ketagih seperti rokok dan dadah. Dalam konteks masyarakat kontemporari, sedikit alcohol akan memabukkan. Banyak alcohol akan memampuskan. Tetapi kenapa ostad jakim tak kuar decree kata rokok itu haram? Why? Why? Why? Kenapa masih benarkan restoran berlogo halal menjual rokok? Why? Why? Why?
Catat Ulasan