"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tidak minta maaf, jumpa di mahkamah - Mustafa

Harakahdaily


MAKKAH, 22 Ogos: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan segala bukti penglibatan Umno di belakang isu pemeriksaan Jais ke atas gereja methodist Damansara Utama apabila beliau di saman oleh Umno nanti.


Sehubungan itu, beliau tidak bercadang untuk meminta maaf kepada Umno dan akan bertemu dengan mereka di mahkamah nanti, kata Mustafa yang bercakap dengan Harakahdaily dari Makkah.

"Saya tidak akan minta maaf dan akan serahkan bukti yang saya ada dalam mahkamah nanti," kata Mustafa.

Mustafa yang sedang menunaikan umrah sehingga Aidil Fitri ini didesak memohon maaf oleh Umno ekoran dakwaannya bahawa Umno terlibat di belakang Jais dalam pemeriksaannya ke atas gereja itu.

Umno Selangor dilaporkan akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa Ali berhubung dakwaan kononnya parti Melayu itu memainkan peranan dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

“Kita akan memulakan langkah permulaan saman iaitu saman tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap fitnah yang dibuat Datuk Mustafa Ali terhadap Umno Selangor dengan jumlah RM10 juta.

“Ini adalah tindakan yang terpaksa dilakukan demi mempertahankan maruah dan hak, kami akan hantar notis kepada beliau dan pihak-pihak tertentu dan jika tiada jawapan, kita akan failkan saman selepas Aidilfitri,” kata Mohd Zin pada sidang media di sini.

Menurut Mustafa, pada asalnya beliau bercadang untuk memberikan bukti yang beliau ada kepada Pengarah Jais, namun oleh kerana Jais tidak mahu bertemu dengan PAS, maka bukti itu akan diserahkannya kepada mahkamah nanti.

PAS telah mengambil keputusan bertemu dengan Jais dan GMDU sebelum mengambil sebarang pendirian berhubung dengan isu pemeriksaan Jais ke atas GMDU itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu, PAS telah menghantar surat kepada kedua-duanya.

Jais dari awal lagi menolak permohonan PAS untuk bertemu dengan pihaknya dengan alasan nasihat Baginda Sultan Selangor.

GMDU pada awalnya bersedia untuk bertemu pada 16 Ogos lalu namun membatalkannya sehari sebelum itu dengan alasan isu ini sudah terlalu panas.

Mustafa pula dalam sidang medianya di Kuala Terengganu telah meminta para ahli dan pemimpin PAS tidak terperangkap dalam isu itu kerana beliau mempunyai bukti Umno terlibat di belakang tindakan Jais itu.

Tiada ulasan: