Mohamed Hanipa Maidin
SECARA jujur saya amat cemburu dengan ketegasan Bok Lokman yang enggan tunduk dengan an caman Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Ketegasan beliau untuk enggan menghadirkan diri bagi disoal siasat oleh Jais mengingatkan saya kepada Mahatma Gandhi yang terkenal dengan prinsip 'satyagraha' ( tidak tunduk kepada undang-undang zalim ).
Memang sukar untuk memahami individu Muslim seperti Bok Lokman boleh ditangkap oleh Jais kerana menyampaikan kalam Allah kepada hamba-hamba Allah di Rumah Allah. Kita amat khuatir jika ada pihak yang sanggup bertindak seperti musuh Allah menghalang agama Allah tersebar di muka bumi Allah.
Secara peribadi saya tidak pernah bersetuju dengan undang-undang yang mengkehendaki orang yang menyampaikan ajaran Islam mempunyai tauliah.
Ya, undang-undang mengenai tauliah ada unsur positif. Ia digubal dengan berfalsafahkan motif supaya hanya mereka yang layak dibenarkan bercakap tentang Islam. Bagaimanapun dalam banyak keadaan undang-undang tersebut telah disalahgunakan sehinggakan mereka yang layak pun tidak dibenarkan berceramah di masjid hanya kerana tiada tauliah. Jelas aspek negatif tauliah mengatasi aspek positifnya.
Bukan suatu yang luar biasa undang-undang yang digubal dengan niat yang baik boleh disalah guna untuk menzalimi orang-orang baik. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh yang jelas.
Meskipun niat menggubal ISA asalnya sangat murni iaitu memerangi golongan subversif namun pelaksanaannya selama ini terbukti penuh dengan ketidakadilan dan salah guna kuasa.
Mereka yang menyokong tauliah bersandar pada hujah jika peraturan mengenai tauliah tidak wujud akan wujudnya kekacauan ke rana mana-mana orang dengan mudah menyampaikan ajaran agama tanpa kawalan dan ini akan memburukkan nama baik Islam.
Saya tidak kata hujah tersebut tiada meritnya. Namun hujah tersebut terlalu banyak bergantung kepada anggapan semata-mata. Hujah tersebut menganggap bahawa mereka yang mendengar ceramah agama atau tazkirah di masjid sebagai contoh adalah mereka yang amat jahil agama sehinggakan mereka akan mudah dipengaruhi oleh penceramah dan pentazkirah yang dijemput oleh pihak masjid.
Hujah tersebut juga menganggap orang seperti Bob Lokman dan Khalid Samad ( yang juga akan didakwa oleh Jais kerana beri tazkirah tarawih di masjid di bulan Ramadan) seolah-olah berada di dalam kategori Ayah Pin yang ingin memesongkan pemikiran orang Islam.
Hujah tersebut gagal mengambil kira adakah munasabah jika Bob Lokman ada mempunyai niat jahat di dalam menyampaikan tazkirah beliau akan sanggup memenuhi permintaan jemaah masjid untuk menyampaikan tazkirah secara terbuka tanpa memikirkan kesannya.
Adakah mereka yang ada niat tidak baik ke atas Islam seperti Ayah Pin atau orang yang menggelar dirinya 'Rasul Melayu' akan berani memberi tazkirah secara terbuka seperti Bob Lokman atau Khalid Samad? Dan adakah ahli jemaah masjid terlalu naif dan hanya berdiam diri jika isi tazkirah Bob Lokman menyimpang daripada ajaran Islam. Jais sendiri dilaporkan bersetuju isi tazkirah Bob Lokman tidak bersalahan dengan ajaran Islam.
Terlalu berpegang secara literal kepada undang-undang mengenai tauliah kadangkala akan menyebabkan mereka yang menguatkuasakan undang-undang tersebut bertindak membuta tuli hingga ke tahap tidak masuk akal.
Sejarah menunjukkan alasan tauliah pernah digunakan untuk menghalang mereka yang bergelar ulama daripada menyampaikan ajaran Islam di masjid di Selangor. Meskipun para ulama seperti Dr Haron Din, Dato' Ismail Kamus, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tok Guru Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin adalah mereka yang ditauliahkan oleh institusi Islam seperti Universiti Al-Azhar, mereka juga pernah dilarang memberi tazkirah di Selangor kerana tiada tauliah daripada Jais.
Undang-undang mengenai tauliah hanya mengiktiraf tauliah daripada Jais. Dengan lain perkataan hatta jika ada sarjana Islam yang ada PhD di dalam pengajian Islam dari Al-Azhar sekalipun pengiktirafan tersebut tidak boleh mengatasi tauliah Jais! Pengiktirafan Al-Azhar tersebut tidak secara automatik melayakkan sarjana Islam tersebut menyampaikan tazkirah. Adakah ada alasan yang paling tidak logik selain alasan ini!
Terdapat keganjilan yang jelas di dalam peraturan mengenai tauliah. Meskipun tujuan peraturan tauliah digubal bagi menghalang mereka yang tidak layak dari menyampaikan ceramah atau tazkirah agama, apa yang berlaku mereka yang layak pula diambil tindakan oleh Jais kerana menyampaikan ajaran agama. Kes Dr Asri ditangkap dan didakwa oleh Jais adalah contoh yang jelas.
Peraturan tauliah bagi saya membantutkan usaha-usaha dakwah. Islam menganjurkan setiap Muslim untuk berdakwah mengikut kadar kemampuannya. Anjuran itu menunjukkan Islam bukan agama yang abstrak sehinggakan hanya orang-orang tertentu atau dipilih yang layak untuk berdakwah. Sudah tentu darjat penyampaian Bob Lokman tidak sampai ke tahap darjah penyampaian Dr Haron Din namun selagi mana penyampaiannya menepati ajaran Islam adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk menghalang beliau bertazkirah di dalam masjid.
Apa pun tahniah Abang Bob. Kami menyokong anda 100 peratus.
1 ulasan:
Bila memikirkan hal yang semakin pelik berlaku di Malaysia nih, semakin takut akan keadaan dunia dan usianya.... sedarlah wahai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya
Catat Ulasan