"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa kerajaan izin Seksualiti Merdeka?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempersoalkan kenapa pihak kerajaan telah membenarkan program Seksualiti Merdeka sejak 2008 lagi.
Justeru, Mapim mendesak Perdana Menteri tidak perlu menyenangkan hati golongan sekular dan liberal Barat hanya kerana mahu mendapat sokongan mereka.

“Ketegasan terhadap nilai dan dasar negara mesti dipertahankan tanpa rasa terikat dan tertekan,” kata setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, Mapim tidak menolak pihak berkuasa menggunakan pendekatan yang bijak untuk mencegah kemungkaran seks bebas, tetapi ia tidak boleh sama sekali bermaksud menerima perlanggaran undang-undang Islam sebagai hak .

Azmi menegaskan pihaknya membantah keras penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011.

Katanya, ini jelas dinyatakan oleh salah seorang pengasas Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik bahawa festival itu bertujuan untuk menyokong dan memperkasa (empower) golongan lesbian, gay, bisexual and transgender (LGBT).

Katanya, walaupun Khee Teik menyatakan acara tersebut bukan untuk mempromosi homoseksualiti namun jelas penganjur mahu mengenengahkannya sebagai suatu kebebasan dan hak peribadi.

Ujarnya, mereka mendakwa negara ini mengamalkan diskriminasi ke atas golongan tersebut.

Tegasnya, Mapim menolak dengan tegas alasan Majlis Peguam supaya hak LGBT diketengahkan atas nama demokrasi.

Katanya, mengutip kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah negara yang ‘progresif dan liberal’ tidak boleh dijadi alasan untuk perlakuan yang melanggari akhlak yang ditetapkan oleh Islam dibolehkan.

“Kami ingin menegaskan sesebuah negara berdaulat seperti Malaysia berhak untuk meletakkan nilai dan asas undang-undangnya mengikut peruntukkan Perlembagaan. Ia tidak boleh dilihat sebagai suatu penderaan atau ketidakadilan hanya kerana ia tidak selaras dengan budaya hidup Barat,” katanya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Katanya, sikap liberal dan membiar budaya yang bertentangan dengan nilai dan adat resam rakyat Malaysia telah mengakibat kumpulan sekular-liberal Barat tidak henti-henti meneruskan kempen mereka supaya Malaysia turut memasukkan ke dalam polisi awam dan undang-undang negara mengenai hak kumpulan LGBT berkenaan.

Beliau berkata, Mapim menegaskan bahawa tuntutan golongan itu seperti yang terbayang dalam beberapa acara yang terkandung dalam festival tersebut adalah bertentangan dengan adab dan nilai akhlaq yang ditekankan oleh Islam.

Mapim juga, ujarnya kesal dengan Majlis Peguam yang turut terlibat dengan penganjuran program tersebut.

“Apa urusan Majlis Peguam untuk terlibat melaksnakan kempen supaya Malaysia merombak polisi awam dan undang-undang Malaysia termasuk undang-undang Islam atas nama hak asasi manusia?” soalnya.

Katanya, peguam Muslim dalam Majlis Peguam perlu bersuara supaya hal yang menyentuh persoalan dan kedudukan undang-undang Islam serta kebebasan mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan budaya hidup Islam yang didokong oleh Majlis Peguam hendaklah dibantah.

Tiada ulasan: