"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keberanian Bob Lokman luar biasa

SAFAR JUMAAT
http://rotikaya.com/wp-content/uploads/2011/10/rotikaya-bob-lokman.jpg
SATU perkembangan yang baik dalam hidup ini ialah perubahan. Perubahan mestilah ke arah kebaikan dan sebab itulah dalam Islam, peristiwa hijrah sering dijadikan ‘perayaan’ bagi mengingatkan umat manusia betapa pentingnya ‘hijrah’ atau perubahan.

Oleh sebab itu, apabila ada beberapa artis, sama ada penyanyi, pelakun, pelukis dan sebagainya, memilih untuk berhijrah dari kehidupan biasa mereka kepada keadaan yang lebih baik, sepatutnya semua pihak wajar memberi sokongan kepada golongan terpilih ini.

Tanpa perlu membariskan nama-mana mereka di sini, bagi mengelakkan ada yang tercicir, Bob Lokman adalah satu nama yang wajar dijadikan topik perbincangan.
Dia memilih untuk berhijrah ketika namanya sedang ‘meletup’ dan lakonannya sentiasa dirindui.

Malangnya, penghijrahan Bob Lokman disambut dengan pelbagai sindiran dan halangan.

Padahal, sebelum dia memilih jalan ini, sudah ada sebaris kawan-kawannya yang lebih awal berhijrah tetapi kurang menyengat, menyebabkan ‘apa yang dilalui Bob Lokman’ lebih perit daripada apa yang rakanrakan terdahulunya terima.

Bila menyentuh bab hijrah ini, kita sentiasa dapat melihat ada imam-imam yang memilih penghijrahan berani dan ada juga imam-imam yang memilih penghijrahan ‘untuk hidup lebih mewah’.

Tentu ramai yang tertarik dengan tindakan Dato’ A Samad Said kebelakangan ini. Jika ini juga boleh dianggap sebagai hijrah, ia suatu keberanian yang luar biasa kerana mengenali Pak Samad, beliau seorang yang lemahlembut dan cukup berhemah.

Tetapi di dalam mempertahankan kebenaran, nampaknya, si lemahlembut ini lebih keras daripada batu krikil.

Jika sesiapa melihat perjuangannya sekarang, mana mungkin seorang sasterawan terbilang boleh dan mampu mengharungi gas pemedih mata?

Melihat pada batang tubuh Pak Samad, tiada siapa percaya seniman seperti ini sudah dan membuktikan beliau boleh berdepan dengan apa sahaja.

Pengalaman yang dilalui Pak Samad kini bakal diterima oleh Bob Lokman. Mungkin lebih teruk lagi kerana ‘keberanian’ Bob Lokman dilihat agak luar biasa dan kebetulan, dia mempunyai ramai peminat di kalangan kaki masjid.

Selepas ini, Bob Lokman sepatutnya boleh menyusun jadual bertemu dengan rakan-rakan masjid dengan kawan-kawannya yang lain, yang sudah memilih jalan sama seperti yang dia temui sekarang.

Dengan cara ini, bukan sahaja ia bakal diikuti lebih ramai kawan-kawan yang masih dalam kegelapan, malahan, perubahan ini boleh diketahui sebab-musababnya oleh peminatpeminat lama dan peminat baru mereka.

Cuma satu perkara yang penting, Bob Lokman dan kawan-kawan artisnya kini sudah menemui apa yang mereka cari selama ini, iaitu ketenangan jiwa yang tiada harga untuk dinilaikan – justeru halangan dan rintangan yang ditemuinya adalah ‘hadiah’ yang paling berharga.

Bukan semua orang boleh menerima ujian dan halangan seperti ini kecuali mereka yang terpilih sahaja. Bernasib baiklah mereka yang masih diuji seperti ini kerana ia akan memberi pahala dan kematangan yang cukup berguna.

Bob Lokman beruntung kerana ketika dia memilih untuk berhijrah, ada pihak yang menyambutnya dengan tangan terbuka. Bayangkan, jika dia memilih untuk berhijrah dan tiada siapa memperdulikannya, mungkin dia sekarang kesunyian dan tidak diundang untuk memberi ceramah dan ucapan.

Ramai juga artis yang memilih untuk menyertai Umno sebagai penghijrahan mereka tetapi, akhirnya artis ini akan duduk di kaki lima Umno kerana Umno tidak pernah mahu menghargai golongan ini, kerana mereka merasakan mereka lebih hebat dari orang lain.

Bob Lokman, Pak Samad dan yang lain-lain boleh melihat sendiri di manakah Dato’ Nakahie Ahmad selepas meninggalkan PAS dan menyertai Umno.

Mereka juga boleh melihat, apakah yang Umno sudah perlakukan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah apabila membubarkan Parti Melayu Semangat 46 dan menyertai Umno.

Ini sekadar contoh bagaimana Umno melayan mereka yang memilih untuk ‘berhijrah’ kepada mereka, malahan sesiapa yang sudah tidak lagi berjawatan di dalam Umno akan menjadi kupang tembaga, iaitu tidak bernilai.

Itulah sebabnya, mereka yang memegang jawatan di dalam Umno akan mahu mempertahankan jawatan itu sampai ke penghujung nyawa mereka. Ini kerana mereka tahu, mereka tidak akan berharga apabila sudah tidak berjawatan dan tentunya tidak lagi dihargai.

Ada orang kuat Semangat 46 yang duduk dalam kabinet sekarang, itu pun berhempas pulas mengampu untuk berada di situ tetapi apabila menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden Umno, dia tewas.

Kerana apa? Kerana Umno memang tidak mahu menerima mereka ini tetapi disebabkan dia ada kelulusan dalam bidang ampu-ampuan, maka dia berada di situ sekarang ini. Jika undi perwakilan Umno diambil kira untuk mendapat jawatan dalam kabinet, nescaya orang ini sudah terpelanting jauh.

Bob Lokman usah gusar, usah risau dan usah bimbang. Pilihan yang dibuatnya sudah betul dan teruskan tanpa perlu takut apaapa.

Jika boleh, tunjukkan sikap positif dan mudah-mudahan, ia akan menjadi ikutan rakan-rakan seangkatannya yang lain. Begitu juga Pak Samad.

Pillihannya itu tepat kerana tidak ramai sasterawan yang mempunyai cukup keberanian seperti beliau.

Yang di luar sana, jika masih takut-takut – tiada universiti yang boleh memberi mereka ilmu berani kecuali hati dan jiwa mereka sendiri yang didatangi kesedaran, tanpa kesedaran, sampai bila-bila pun mereka akan kekal di situ dan itulah yang mereka dapat hasil pilihan mereka sendiri.

Ramai percaya, semakin ramai kawan-kawan Bob Lokman akan mengikut jejak Bob Lokman kerana di situ mereka akan menemui ketenangan yang tidak pernah mereka temui sebelum ini. Seperti kata beberapa artis yang sudah berhijrah, dunia glamour tidak menjanjikan apaapa kecuali hipokrasi yang tidak berkesudahan.

Tiada ulasan: