"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno 'beri lesen' MCA hina Islam?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Okt: PAS mempersoal adakah benar kononya Umno mahu memperjuangkan Islam sedangkan parti itu hanya diam membisu ketika MCA sedang berpesta menghina Islam.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan menghina Islam terbaru dari Presiden MCA, kononnya hukum Islam menjejaskan ekonomi dan membawa kemunduran, seperti "direstui" Umno dan NGO yang pro mereka.

"Di mana suara Umno ketika MCA biadab dengan Islam? Di manakah NGO Pro-Umno ketika pemimpin MCA menghina Islam degan penuh emosi? Kenapa mereka menikus?

"Apakah MCA berani menghina Islam kerana diberi lesen oleh Umno? Kenapa Umno tidak memberi amaran kepada MCA?," soalnya bertubi-tubi melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa jika hukum Islam dilaksanakan, ekonomi negara akan terjejas dan akan membawa kemunduran kepada negara.

Menurutnya, adalah tidak mustahil tindakan 'tutup mulut' oleh Umno itu kerana ada kepentingan politik tertentu disebaliknya walaupun sanggup melihat sahaja Islam dihina.

"Apakah kerana takut kehilangan pengaruh dan meraih undi, maka Umno membisu, asalkan matlamat politik mereka tercapai walaupun Islam dihina.

"Cuba bayangkan jika kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin DAP atau pemimpin PKR, maka sudah tentu akan diadakan demontrasi di KOMTAR Pulau Pinang oleh tukang juak-juak mereka," ujar bekas ketua penerangan PAS itu lagi.

Kenyataan menghina Islam oleh presiden parti komponen BN itu menurut Idris, bukan pertama kali malah ketika pilihanraya kecil Tenang beliau menghina Islam apabila menghina calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki.

Beliau turut mempersoal dimanakah suara NGO Umno yang berkobar-kobar untuk mempertahankan Islam ketika program HIMPUN di Shah Alam 22 Oktober lalu.

Katanya, amat malang jika kita marah kepada orang lain menghina Islam tetapi pada masa yang sama 'memberi lesen' pula kepada MCA berbuat demikian.

"Setakat hari ini kita belum dengar lagi suara Perkasa, YB Zulkifli Nordin, Dr Rhidwan Tee, Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan kuncu-kuncu mereka.

"Amat malang kepada kita jika kita ada orang yang mempunyai otak asabiah yang membuta tuli seperti ini.

"Kita akan dengar lagi selepas ini kenyataan yang lebih dahsyat kepada Islam, jika pemimpin MCA melihat sokongan orang bukan Islam masih tidak lari daripada menyokong Pakatan Rakyat menjelang PRU 13," katanya.

Tiada ulasan: