Mohd Sayuti Omar
Hari ini Umno Johor baru berjumpa buku dengan ruas. Kalau sebelum ini pemimpin Umno Johor boleh beriba tangan dan tidak perlu gundah gulanda setiap kali tiba pilihan raya umum, kerana parti itu sudah pasti akan menang besar, tetapi kali ini sudah tidak lagi. Perasaan itu bukan menjadi milik mutlak mereka lagi.
Tuhan ini maha adil dan maha mentadbir, rasa 'agah' dan megah yang kesekian lama bertakhta di dalam minda pemimpin Umno Johor sudah ditarik perlahan-lahan.
Azlina, Sallahudin bertemu buku dengan ruas.
Kenapa Allah menarik rasa nikmat dan anugerah itu? Jawabnya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkin tidak bersyukur atas nikmat dan rahmat diberikan-Nya.
Ada firman-Nya bermaksud; kalau kamu mensyukuri nikmatKu, Aku akan tambah, tapi kalau kamu kufur terhadap nikmat Ku, aku akan tarik dan perhinakan kamu.
Apa yang terjadi kini kerana kealpaan dan sikap ego pemimpin Umno itu sendiri. Tegasnya mereka tidak melaksanakan apa yang mereka janjikan kepada rakyat. Mereka mendabit dada kononnya sebagai pembela Melayu, hakikatnya Melayu di Johor semakin terkempit dan terhimpit. Mereka mendabik dada hendak mendaulatkan Islam, hakikatnya Islam terancam dan diserang dari depan dan belakang. Johor gagal menjadi serambi Makkah atau 'jokel' Madinah, walhal kalau hendak dikira negeri itulah mempunyai paling banyak sekolah agama dan pendidikan agama dikatakan wajib diperingkat pra sekolah.
Jadi dimana janji dan ikrar Umno? Itulah menyebabkan nikmat sementara itu ditarik balik. Keadaan Umno hari ini dalam situasi gelisah dan gelabah macam kucing kejatuhan anak. Perasaan dan keadaan ini tidak dapat disembunyikan lagi. Cara sesetengah pemimpin menangkis serangan lawan secara ganas dan samseng menunjukkan betapa mereka diasak kegelisahan. Beberapa pemimpin melenting dan jadi naik angin tidak semena-mena menujukkan hakikat itu. Bahawa mereka tidak lagi merasa selesa dan tidak akan mendapat kemenangan mudah dalam pilihan raya akan datang.
Salah seorang yang tidak dapat menyembunyikan keresahan dan 'mengepikkan' ketakutan dan melenting macam buah guli jatuh ke simen, ting ting ting, ialah ahli Parlimen Pengerang, Azlina Othman Said. Hari ini tidak semena-mena bekas menteri kabinet itu menjadi naik angin tidak tentu fasal, menyerang orang itu dan orang ini sampai mengajak berdebat dengannya.
Khabarnya dalam parlimen semalam beliau menjadi seperti badak sumbu dalam waktu haid, tanduk situ sigung sini. Badak sumbu kalau dia hendak datang bulan dia akan panas baran dan akan mengamuk 'ikut dan' bagi melepaskan perasaanya. Katanya semalam di parlimen Azalina jadi emosi kerana serangan pembangkang ke sarangnya di Pengerang. Beliau marah dengan pembangkang yang mendedahkan isu pojek loji penapis petrokimia (Rapid) yang dicadang dibangunkan di kawasannya.
Pembongkaran projek bernilai RM600 billion berkenaan adalah gangguan ke atas sarangnya di Pengerang itu. Selama ini tidak ada siapa menganggu atau pun mengusik sarangnya. Dua kali beliau menang tidak bertanding di kerusi itu. Jadi apabila sarangnya telah diusik baru Azalina merasa betapa hangat dan panasnya bila kloni diusik dan diganggu.
Katanya orang yang menjadi tandukan dan tendangan ala-ala takewando bekas puteri Umno itu ialah Naib Presiden Pas Sallahuddin Ayub. Azalina marah dan berbuku betul dengan Sallahuddin sampai meminta untuk berdebat dengan ahli parlimen Kubang Kerian itu. Tampaknya pemulangan Sallahuddin ke Johor benar-benar pemulangan seorang pendekar yang baru disintuk limau ia telah memberi impak besar kepada Umno Johor. Baguslah.
Saking marahnya Azalina semalam sampai Nurul Izzah Anwar meminta beliau agar tidak emosi. Izzah minta laluan semasa beliau berucap tetapi tidak diberi laluan. Malangnya semasa Azlina membelasah Sallahuddin, ahli parlimen itu tidak berada dalam dewan.
Ada beberapa perkara yang menimbulkan kemarahan Azalina. Antaranya ialah tunjuk perasaan membantah projek itu yang diadakan 30 September lepas di Pengerang. Azalina marah apabila angka tunjuk perasaan itu dikatakan mencecah 7,000. Sebalik, beliau dakwa hanya 3,000 sahaja. Sebenarnya Azalina tidak perlu emosi dan marah kalau angka yang diperolehi itu lebih tepat. Apabila beliau cuba mempertikaikan soal angka ini menunjukkan perasaan itu menganggu musim-musim tidur dan damainya selama ini.
Perkara lain yang dimarah ialah kononnya pengambilan tanah rakyat itu dibuat tidak adil dan menganiaya rakyat. Beliau melenting apabila tanah rakyat didakwa pemimpin pembangkang dibayar dengan kadar RM2.80 sekaki. Sebelum ini Azalina menjelaskan harga bayaran mencecah RM8 sekaki. Beliau juga sebelum ini marah sampai hendak saman Mazlan Aliman apabila Mazlan menuduh beliau terbabit membawa projek itu ke Pengerang. Saya sedikit hairan dalam hal ini, satu masa Azalina ghairah mempertahankan projek berkenaan dan dimasa lain ketakutan pula bila dikatakan beliau terlibat membawa balik projek itu.
Keadaan ini menunjukkan beliau sendiri tidak yakin dengan projek berkenaan akan memberi keuntungan dan dapat membantu rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan