Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH: Seramai 50 orang ahli Umno Cawangan Permatang Tengah, Permatang Pauh sudah serik dengan permainan politik parti itu dan membuat pendirian akan keluar parti.
Kesemua mereka dijangka akan mengumumkan keluar Umno pada satu majlis khas 14 Oktober ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Turut dijangka hadir pada majlis itu nanti adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut mantan ketua cawangan Umno tersebut, Encik Talib Ibrahim 53, tindakan drastik sebahagian penyokongnya adalah kerana kecewa dengan langkah yang diambil oleh Umno Pusat yang bertindak memecatnya selain kesal dengan pelbagai dakyah kotor yang sengaja dilaksanakan untuk memancing pengaruh orang melayu di Pulau Pinang.
"Bukan saya resah bila dipecat malahan rasa lega setelah usaha yang dibuat demi kepentingan rakyat dibalas dengan surat pemecatan pada 24 September lalu.
"Kesan daripada pemecatan itu seramai 50 ahli Umno di cawangan yang pimpinya selama 36 tahun keluar beramai-ramai, " jelasnya ketika berdemo di hadapan jalan Permatang Pauh petang tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Permatang Pauh selama 21 tahun, turut kesal kerana Umno sanggup membohongi rakyat kononya membela nasib orang Melayu sebaliknya bertindak menjadi 'broker' menjual tanah orang Melayu kepada bangsa lain.
Selama ini kata beliau, ramai ahli Umno termasuk dirinya terpedaya dengan kenyataan kepimpinan Umno yang acapkali bersuara membela nasib orang Melayu khususnya dalam bidang pendidikan, peniaga dan seupamanya.
Tindakan keluar Umno itu katanya bukan kerana dipaksa atau gimik menjelang pilihanraya umum ke 13 tetapi disebabkan timbul perasaan sedar apabila sering ke ceramah Pakatan Rakyat.
"Tindakan mereka bukan disebabkan dipaksa malahan kerana tekanan hasil perlakuan kepimpinan Umno sendiri. Mereka beralih juga disebabkan selalu pergi ke ceramah Pakatan Rakyat yang menceritakan apa yang sebenarnya, " terang beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan