"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami

NORFARHIZA MOHD ATAR
Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami
Halim menceritakan kepada penulis mengenai nasib dirinya yang menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.
SEORANG isteri tergamak menggunakan darah haidnya dan air mani gajah untuk menyihir suami supaya menurut segala perintahnya, manakala dia bebas melakukan apa saja.

Selain dua bahan jijik itu, isteri durjana berkenaan turut menggunakan minyak pengasih, tangkal pengikat nafsu dan wafak (gambar rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan Jawi dengan menggunakan kalimah ALLAH) supaya dia kelihatan hebat pada pandangan orang lain.

Bagi memastikan kemujaraban tangkal darah haid itu, ia dibalut dalam kertas bertulisan Jawi dicelup dalam minuman suami.

Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram.

Kesengsaraan itu diceritakan seorang suami yang mahu dikenali sebagai Halim, 30-an, apabila menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.

Dia yang berasal dari daerah Lipis dan pernah bekerja di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa menjadi mangsa kezaliman isterinya sejak sebelum berkahwin sehingga rahsia ilmu hitam yang dipraktikkan itu terbongkar Disember lalu.

Menurutnya, dia terkejut apabila menemui pelbagai jenis tangkal yang disimpan di rumah, termasuk didakwa darah haid yang digunakan untuk menundukkannya.

“Selama ini memang banyak perubahan berlaku pada diri saya. Saya jadi malas hendak bekerja, bila bergaduh dengan isteri saya cepat mengalah meskipun ada ketika dia salah, selalu sakit badan dan kepala, manakala hati selalu tidak tenteram.

“Segala masalah itu terbongkar apabila saya menemui nota jampi serapah di atas meja isteri. Hasil pencarian di dalam rumah, saya menemui pelbagai jenis tangkal yang dia simpan rapi di dalam sebuah kotak.

“Saya turut menemui SMS isteri yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suami orang yang juga pelanggannya. Sebenarnya dia mahu kelihatan berkuasa dan pernah berkata kepada saya, jika dia hendak sesuatu dia akan lakukan walau apa cara sekalipun. Mungkin kerana itu, saya menjadi sasaran,” katanya di sini, kelmarin.

Halim berkata, dia ada bertanya isterinya mengapa sanggup berbuat demikian, tetapi seperti diduga wanita itu menafikan dia melakukan perbuatan berkenaan.

“Menurut sepupu saya, sebelum kami berkahwin lagi isteri saya sediakan sejenis air untuk saya yang tidak diketahui tujuan. Rakan yang pernah datang ke rumah kami juga berasa tidak sedap hati apabila hendak masuk.

“Apabila saya bertanya isteri, dia tak mengaku dengan memberi pelbagai alasan. Saya tidak tahu mengapa dia sampai hati menyihir saya,” katanya.

Dia berkata, akibat perbuatan isteri, kerjayanya sebagai perunding dana amanah terjejas sehingga bayaran bulanan rumah tertunggak sembilan bulan.

“Kerja saya terjejas teruk. Jika dulu pendapatan mencecah RM20,000 tetapi sekarang jauh merosot, malah pernah dapat tidak sampai RM2,000 sebulan. Apabila hendak jumpa orang, saya malas pergi apabila tiba masanya.

“Sebaliknya isteri saya yang bekerja bidang sama mampu memperoleh RM20,000 ke RM50,000 sebulan, malah dalam bidang ini dia terkenal antara yang berjaya mencatat perolehan tertinggi,” katanya.

Halim berkata, apabila keadaan itu berlaku isterinya hidup dalam serba kemewahan, tetapi dia sebaliknya.

“Apabila isteri hidup dalam keadaan bertuhankan duit, dia mula berubah, rasa diri hebat, bongkak, meninggi diri serta sombong. Saya seperti orang suruhan dia. Begitupun sebagai suami, saya masih menjalankan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya.

Menurutnya, selepas mengetahui dirinya disihir, dia menemui empat bomoh, termasuk pakar perubatan Islam, untuk membuang sihir berkenaan.

“Ada yang saya jumpa beritahu, saya sudah lama kena (sihir). Melalui seorang ustaz, saya diberitahu, dalam satu tangkal, isteri saya menggunakan darah haidnya manakala tangkal lain menggunakan minyak kelapa, kertas wafak yang didakwa ada jin serta tulisan jampi serapah.

“Ada juga memberitahu, tangkal itu dihasilkan daripada air mani gajah,” katanya.

Menurutnya, tangkal berkenaan diserahkan kepada pengamal perubatan Islam untuk `dimatikan’ sihirnya dan dia kini masih mendapatkan rawatan pemulihan berterusan.

“Saya masih sayangkan isteri demi anak kami yang berusia tiga tahun namun, melihat isteri semakin jauh menyimpang, saya tiada pilihan selain memfailkan permohonan nusyuz di mahkamah. Buat sementara ini juga saya masih bercuti di kampung untuk memulihkan semangat,” katanya.

Halim yang berharap akan pulih segera daripada ilmu hitam itu merancang membina kembali kerjayanya, selain hidup dalam keadaan tenang dan bahagia.

Tiada ulasan: