"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

9 Perkara Bakal Menumbangkan UMNO

Blog Nusajayakini.com
GELANG PATAH: Gelombang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU-13) yang semakin hangat terasa bahangnya ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira hampir 100 orang petugas pilihanraya bagi DUN Nusajaya dan Parlimen Gelang Patah Khamis lalu.

Menurut Yang Di-Pertua PAS Kawasan Gelang Patah, Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad, beliau yakin Pas dan Pakatan Rakyat mampu untuk menawan Nusajaya dengan sokongan yang diberikan oleh pengundi setempat.

Tambah beliau lagi, kekuatan jentera pilihanraya yang Pas miliki hari dilihat sebagai satu bonus besar untuk memastikan Pakatan Rakyat mampu untuk memenangi kerusi dalam PRU-13 nanti seterusnya mentadbir negeri Johor ini.

“Saya rasa begitu berbangga dengan kehadiran petugas yang begitu ramai malam ini. Kalau kita dapat kekalkan momentum sebegini hingga PRU nanti, saya amat yakin kita mampu untuk tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional dan tawan Nusajaya,” jelas beliau.

Dalam himpunan yang sama juga, Ustaz Azlisham yang juga merupakan Naib Ketua Dewan Ulama Pas Johor menegaskan bahawa terdapat 9 perkara yang bakal menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-13 akan datang.

Perkara tersebut diulas satu persatu dalam sesi tazkirah yang disampaikan oleh beliau pada himpunan tersebut.

“Ustaz yakin dan percaya, insyaallah sekiranya 9 perkara ini dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dalam memenangkan perjuangan ini, Pas dan Pakatan Rakyat akan diberi laluan mudah untuk mencapai kemenangan dalam PRU-13 akan datang,” jelas beliau.

Antara lain yang menjadi amanat untuk para petugas pilihanraya kali ini adalah pastikan perkara fardu terjaga, solat berjemaah, melazimi amalan sunat, solat tahajjud, sentiasa dalam keadaan berwudu’, ikhlaskan niat dalam gerak kerja, banyakkan istighfar, dan zikir munajat.

“Kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah pengundi ketika dalam tempoh berkempen. Jadi perkara-perkara ini yang akan menjadi asas kekuatan kepada kita untuk berhadapan dengan mereka seterusnya melembutkan hati-hati mereka untuk memilih calon kita, “ ujar beliau lagi.

Himpunan pada malam itu menyaksikan kira-kira hampir 100 petugas pilihanraya yang hadir bagi mendengar taklimat serta amanat daripada pimpinan Pas Kawasan Gelang Patah.

Tiada ulasan: