"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kosong Kosong’ Astro ‘memang kosong’?

RAYUSA
JIKA tiada aral melintang, umat Islam di negara kita akan mula berpuasa Ramadan pada 29 Jun ini. Selepas itu, Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 28 Julai depan.

Setiap tahun juga, Astro menyambut Ramadan dan Syawal dengan tema serta senarai program televisyen dan aktiviti istimewa untuk dinikmati bersama oleh rakyat negara ini.

Untuk Ramadan tahun ini (1435 Hijrah), stesen penyiaran berbayar itu membawa sebuah kempen yang bertemakan ‘Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’.
Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, kempen tersebut bertujuan mengajak rakyat Malaysia menghayati erti sebuah kemaafan melalui program dan aktiviti yang telah diatur dengan teliti mengikut selera semasa, sambil memenuhi tuntutan kerohanian.

Ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen ‘Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’ di sebuah restoran di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, 10 Jun lalu, Khairul dan Astro berharap Ramadan tahun ini sedikit sebanyak dapat membantu penonton beragama Islam lebih menghayati bulan mulia tersebut.

Lebih 30 program istimewa disediakan sepanjang Ramadan nanti menerusi saluran-saluran Astro bermula dengan rancangan di Astro Oasis (saluran 106), iaitu drama bersiri 30 Hari Puasa dan Tanah Kubur Istimewa Ramadan, serta filem televisyen Syurga Untuk Lelaki.

Rancangan Dunia Pencetus Ummah, Anta Tanya Ana Jawab, Musykil Muslimah, serta Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim Elias turut diteruskan dengan suntikan elemen Ramadan.

Astro Prima (saluran 105) dan Astro Ria (saluran 104) juga bakal menawarkan beberapa rancangan hebat seperti Primadona Ramadan, Hajat Ramadan 2014, Resepi Memikat Suami, serta Romantika.

Astro Citra (saluran 131) pula menerusi slot ‘Sinema Sahur’ akan mempersembahkan tema istimewa, ‘Minggu Istimewa’ bersama empat selebriti, iaitu Aaron Aziz, Lisa Surihani, Nora Danish, dan Shaheizy Sam apabila filem-filem lakonan mereka akan disiarkan sepanjang minggu tersebut.

Selain itu, Astro Radio melalui ERA.fm, SINAR.fm, THR Gegar.fm. dan Hitz.fm akan menyampaikan mesej ‘Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’ secara berterusan menerusi segmen-segmennya.

Saluran televisyen, stesen radio Astro, Astro Digital, Astro Shaw dan Skuad Era Baazar Ramadan akan melawat ke pelbagai lokasi Bazar Ramadan yang terpilih sebagai sebahagian daripada aktiviti pada bulan Ramadan nanti.

Bagi merapatkan lagi silaturahim Astro dengan rakyat negara kita ini, program-program berbuka puasa serta acara Yok Sahur anjuran portal Murai turut diadakan. Kali ini lebih istimewa kerana portal Murai akan bekerjasama dengan Astro Shaw dan Astro Gempak.

Terima kasih kerana berusaha menyediakan pelbagai program dan aktiviti. Cuma, yang ketara setakat ini, ‘arena’ Astro tiada beza dengan ‘arena’ Dataran Merdeka; Stadium Putra, Bukit Jalil atau Dewan Merdeka, PWTC.

Pentas di Dataran Merdeka, Stadium Putra atau Dewan Merdeka selalu diisi dengan konsert hiburan oleh artis (dalam dan luar negara), dan juga persidangan serta tilawah al-Quran.

Ertinya, boleh untuk perkara baik dan boleh juga untuk perkara kurang/tidak baik.

Astro boleh menjadi Islamik sepanjang Ramadan, tetapi berpusing 360 darjah apabila Syawal menjelma sehingga melambakkan pelbagai program ‘candu’ pula dengan tema seperti ‘Tonton Sampai Pengsan’ - sebagaimana tahun lalu.

Tema ‘Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’ memang baik. Ia menganjurkan dan menggalakkan sikap berbaikbaik, saling memaafkan dan tidak berdendam sesama umat Islam.

Bagaimanapun, jangan hanya hal itu sahaja yang diutamakan.

Ramai artis wanita tanah air yang beragama Islam seolah-olah berpegang pada falsafah ‘yang penting, hati baik’, atau “Saya masih ada maruah walaupun berpakaian begini.”

Mereka menjawab sedemikian apabila ditegur kerana berpakaian mencolok mata. Namun, mereka sebenarnya silap besar. Kalau berdasarkan hati baik, lebih baik mereka tidak memakai apa-apa.

Jika ditanya mengapa tampil tanpa seurat benang, jawablah, “Tak mengapa. Yang penting, hati baik.”

Dalam hal solat juga mereka silap besar jika menjawab, “Tak mengapa tak solat. Yang penting, hati baik.” Kalau soal hati diambil kira, Rasulullah s.a.w. tentu tidak solat fardu dan sunat langsung semasa hayatnya kerana Baginda adalah manusia yang memiliki hati paling baik di dunia!

Memang beribadat kepada Allah SWT dan saling berbaik sesama umat Islam tidak hanya pada Ramadan sahaja. Kita perlu ‘suci bersih’ sepanjang tahun. Cuma, sepanjang Ramadan kita digalakkan lebih ‘berkelakuan baik’.

Bagaimanapun, kecewa apabila melihat penampilan artis wanita Islam yang menghadiri pelancaran ‘Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’ itu. Mereka semacam tidak tahu menghormati majlis dan menyesuaikan diri menjelang Ramadan nanti. Mereka tidak berselendang, apatah lagi memakai hijab. Seorang dua sahaja yang berhijab.

Kebanyakan staf wanita Islam Astro yang hadir pun tidak menutup kepala, melainkan seorang dua yang memang telah sedemikian. Begitu juga dengan kebanyakan wartawan wanita Islam yang datang membuat liputan.

Jika sedemikian, ‘Kosong Kosong’ yang diuar-uarkan memang kosong tanpa sebarang makna hakiki dan sewajarnya. Seolah-olah tema tersebut tidak berkesan.

Entah kenapa tema pakaian yang ditetapkan semasa majlis pelancaran itu adalah biru walaupun hijau lebih sesuai. Barangkali warna hijau dikhuatiri menimbulkan salah tanggapan (?) Itu pun tidak semua yang hadir mematuhinya.

Persembahan kumpulan Unic dan penampilan Yeop Dunia Pencetus Ummah pada awal majlis walaupun baik dan menarik, tidak banyak membantu.
-detikdaily-

Tiada ulasan: