"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada lagi siaran percuma Piala Dunia - Shabery

PUTRAJAYA: Rakyat perlu bersedia menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak akan berpeluang menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia secara percuma pada masa hadapan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, ini kerana kos mendapatkan hak siaran eksklusif kejohanan tersebut meningkat setiap kali penganjurannya, selaras dengan perubahan kecanggihan teknologi produksi yang digunakan.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah membelanjakan RM20 juta untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2014.
"Saya menjangkakan kos mendapatkan hak penyiaran pasti akan terus meningkat, mungkin kepada RM40 juta hingga RM50 juta pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pra pelancaran sambutan Kemerdekaan ke57 di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan rakyat berhubung ketidakseragaman penyiaran perlawanan di beberapa saluran televisyen.

Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa keputusan berhubung penyiaran semua perlawanan Piala Dunia bergantung kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita kena faham sukan sudah menjadi mahal kerana ini merupakan sebuah industri besar, dulu kita anggap sukan untuk dapatkan pingat dan menjaga kesihatan sahaja.

"Oleh itu, industri besar ini perlu dilindungi oleh pihak yang mengasaskannya, dalam konteks ini ialah FIFA," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan semua negara menyediakan siaran perlawanan Piala Dunia secara percuma kepada rakyat masing-masing.

Beliau memberi contoh Singapura dan Britain yang menetapkan penduduk negara berkenaan perlu membuat pembayaran untuk menonton perlawanan kejohanan tersebut.

"Paling banyak pun mereka hanya boleh melihat sedikit sedutan-sedutan perlawanan sahaja, tetapi di Malaysia masih beruntung kerana dapat lihat sebahagian secara percuma melalui RTM," katanya

Tiada ulasan: