"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesanan akhir Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik selamat dikebumikan petang tadi selepas disolatkan ribuan hadirin di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring.


Tatkala jenazahnya disempurnakan, pesanan akhir Allahyarham ketika berucap di program "Santai Anak Muda Bersama Murabbi" di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, malam semalam berlegar di laman sosial.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan bahawa anggota jemaah perlu berperanan mengatur strategi untuk kepentingan Islam dan bukannya untuk diri sendiri.

"Kita nak selesaikan kehidupan dengan syariat," ujarnya.

Jemaah, ujarnya bukan medan berehat tetapi medan berjuang, maka setiap isu masyarakat mesti ditafahhum dengan dasar Islam.

"Saf kita bukan sekadar ahli yang baik, tapi jundi (pejuang) yang berdisplin. Perlu ada kesegeraan dalam time management (pengurusan masa).


Menurut Ustaz Abu Bakar, ahli PAS memerlukan ilmu untuk memimpin dan mampu berijtihad dan inilah ciri yang perlu ada dalam "kepimpinan ulama".

Beliau turut berpesan supaya jangan ada walau sedikit pun bagi pejuang Islam memikirkan bahawa agama ini (Islam) menyusahkan.

Allahyarham turut menggaris tiga tunggak "perlembagaan Islam" iaitu masjid yang mesti dimakmurkan; persaudaraan diikat dengan kefahaman yang kukuh; dan Piagam Madinah sebagai sumber dan menjadi panduan.
Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.

Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat.  
Kepiluan jelas terbayang di wajah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika mengiringi jenazah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Chik untuk dikebumikan.

Tiada ulasan: