"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin tertinggi DAP dan PKR tersentap: PKR Cabang Rasah umum sokong hudud

SHAH ALAM: PKR Cabang Rasah hari ini sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan pada sidang Dun Kelantan, Khamis lalu.

Naib Ketuanya, Norizam Yassin berkata, walaupun sedar keputusan menyokong enakmen Pas Kelantan itu sebagai tindakan yang membelakangkan parti, namun ia dibuat kerana agama Islam.

“Sebagai umat Islam tanpa mengira ras keturunan perlu bangkit untuk sama-sama mempertahankan kesucian Islam daripada diasak bertubi-tubi oleh beberapa pihak yang melihat isu ini sebagai agenda politik

“Kami menyokong penuh apa yang dilakukan dalam Dun Kelantan bukan sekadar alasan agenda politik sempit semata-mata tetapi ianya berlandaskan kesedaran bahawa agama Islam jauh merentasi sempadan politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu PKR pada Sabtu mengumumkan bahawa parti itu tidak akan menyokong Rang Undang-undang (RUU) mengenai hudud sekiranya Pas meneruskan hasratnya membentangkannya di Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas berhubung penghantaran notis oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu bagi membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Parlimen.

RUU itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan memberi kesan kepada pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 iaitu berkaitan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Dalam pada itu, Norizam juga mendesak pemimpin bukan Islam khususnya DAP supaya menghentikan sebarang spekulasi dan kenyataan terbuka menyerang undang-undang Islam itu.

“Apabila mereka mula bersuara untuk mengajar kita bagaimana cara untuk menegakkan syiar Islam dalam negara yang jelas dipagari oleh Perlembagaan Persekutuan maka kebiadapan ini wajib dihentikan,” katanya lagi.
-sinarharian-

Tiada ulasan: