"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Khir Toyo mohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana memfitnah

Khir Toyo mohon maaf kepada Abdul Khalid
SHAH ALAM: Dua kes saman fitnah yang difailkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enam tahun lalu berhubung lembu korban dan pembelian kereta Lexus selesai selepas Dr Mohamad Khir Toyo membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Dr Mohamad Khir selaku defendan membacakan permohonan maaf itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, M Gunalan.

Dalam permohonan maafnya, Dr Mohamad Khir berkata, sebagai Ketua Pembangkang Selangor beliau mungkin telah menjejaskan reputasi, imej serta integriti sewaktu Abdul Khalid memegang jawatan Menteri Besar.

"Saya dengan ikhlas memohon maaf terhadap dua kenyataan yang telah diterbitkan di The New Straits Times bertajuk "Lexus is my own, says Khalid" pada 15 Januari 2009 dan di dalam suratkhabar Utusan Malaysia bertajuk "Lepaskan Jawatan MB" pada 23 Januari tahun sama," katanya.

Beliau juga berjanji tidak akan mengulangi pernyataan fitnah pada masa akan datang.

Abdul Khalid kemudiannya menerima permohonan itu dan menyambut salaman daripada Dr Mohamad Khir.

Terdahulu, peguam plaintif, S N Nair memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua- dua pihak telah mencapai persetujuan semasa proses mediasi lalu.

"Pihak defendan akan membuat permohonan maaf dan menyelesaikan kes dengan kos," katanya.

Peguam, K Murali yang mewakili Dr Mohamad Khir mengesahkan perkara itu.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu memfailkan kedua- dua saman fitnah tersebut pada 18 Februari 2009 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman S N Nair & Partners.

Beliau mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak langsung merujuk kepadanya yang bermaksud tidak jujur, tidak beretika dan sengaja menyalahgunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan jawatan awam.

Dr Mohammad Khir didakwa berniat untuk memperkecilkan beliau dalam kapasiti persendirian dan rasmi, termasuk kapasiti beliau pada ketika itu sebagai Menteri Besar dan Adun Ijok serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dr Mohamad Khir juga didakwa telah secara salah menerima dan menunjukkan dokumen rasmi rahsia berkaitan dengan andaian salah laku dalam hal 'lembu korban' tanpa mengesahkan ketepatan fakta yang berkaitan dan seterusnya membuat tuduhan palsu.

Sehubungan itu, beliau memohon gantirugi pampasan, gantirugi teruk, gantirugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang Dr Mohamad Khir daripada terus melafazkan, bercakap atau menulis atau menerbitkan kenyataan terbabit yang didakwa memfitnah beliau.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu permohonan maaf itu merupakan cara terbaik menyelesaikan masalah.

"Dalam arena politik, kita harus mempunyai standard tinggi agar dipercayai rakyat," katanya.

Menurutnya, beliau bersama Dr Mohamad Khir merancang untuk bersama- sama ke Parlimen Bandar Tun Razak dan kawasan Ijok serta Pelabuhan Klang untuk berjumpa dengan rakyat.

"Kami akan bersama-sama menerangkan perkara tersebut," katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: