"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno musuh utama PAS

Abd Shukur Harun
MUSUH utama PAS ialah Umno-BN, kerana itu berikan fokus ke arah menentang Umno. Ini kerana Umno dalam sepanjang sejarahnya siang dan malam menentang PAS.
Oleh itu dalam sibuk-sibuk warga PAS bersiap untuk menghadapi Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun ini, perlulah sentiasa ingat akan musuh utamanya itu yang sentiasa melakukan pelbagai percubaan untuk menghancurkan PAS.

Peristiwa Umno menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu tahun 1960-an dan 1970-an, diskriminasi kerajaan Umno-BN terhadap Kelantan puluhan tahun, peristiwa Memali tahun 1980-an, peristiwa hitam yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak beberapa tahun lalu dan pelbagai peristiwa hitam yang lain membuktikan bagaimana penerusan permusuhan tajam Umno terhadap PAS.
Semuanya ini sangat wajar diingat terus-menerus oleh warga PAS, terutama menjelang muktamar akan datang. Oleh itu jangan hilang fokus.

Jangan sibuk dengan masalah dalaman yang kini melanda PAS, hingga warga PAS melupakan pelbagai bentuk permusuhan Umno terhadap PAS.

Perlu diingat begitu ramai yang menyertai PAS sejak puluhan tahun, bukan saja kerana PAS memperjuangkan Islam, bahkan juga kerana bencikan Umno. Mereka tidak dapat menerima kezaliman Umno terhadap PAS.

Para tokoh lama PAS, seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Yusuf Rrawa, Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hassan Shukri dan lainlain adalah penentang utama Umno-BN.

Bahkan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz sampai berkata, “Selagi ada hayat ambo, PAS tidak akan bergabung dengan Umno atas sebab apapun. Umno parti sekular asabiyah perkauman, yang bertentangan dengan Islam.”

Allahyarham adalah pemimpin yang sangat berpengalaman menghadapi parti perkauman itu yang mendiskriminasi kerajaan PAS Kelantan, menyekat pelbagai bantuan, terutamanya bayaran royalti minyak hingga kini, iaitu hasil bumi Kelantan sendiri.

Ironinya, pada hari kematian Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, pemimpin Umno- BN dan media milik mereka memberikan pelbagai pujian dan sanjungan terhadap Allahyarham, pada hal ketika Allahyarham masih ada hayatnya, bagaimana pemimpin Umno menunjukkan sikap permusuhan yang serupa terhadap Allahyarham, dengan pelbagai cercaan.

Oleh itu warga PAS ingatlah akan hal ini iaitu sentiasa sedar bahawa musuh PAS ialah Umno.

Maka menjelang muktamar PAS Jun depan, muktamirin mestilah jangan lupa akan hal ini.

Memang ada asasnya kebimbangan pelbagai pihak bahawa PAS mungkin melupakan Umno sebagai musuh utamanya apabila menyaksikan PAS terus bergelut dengan krisis dalaman yang tidak habishabisnya itu.

Pelbagai pihak amat khuatir bahawa krisis berterusan dalam PAS akan menyebabkan Umno mendapat keuntungan berganda. Iaitu Umno tidak perlu lagi bekerja keras menyusun dan memperbaharui strategi mereka untuk menentang PAS, disebabkan ahli PAS berantakan sesama sendiri yang akan menimpakan kerosakan besar kepada PAS.

Maka itu muktamar PAS Jun nanti, sewajarnya memberikan tumpuan terhadap Umno sebagai musuh utamanya.

Generasi baru PAS mungkin tidak banyak pengalaman mengenai permusuhan Umno terhadap PAS. Namun generasi lama yang berhempas pulas untuk mempertahankan PAS, mempunyai pengalaman getir menghadapi permusuhan parti perkauman Umno selama ini.

Dalam hubungan ini, saya kira muktamar PAS ke-61 nanti perlu mengambil inisiatif memperbaharui komitmen dan gerakan menentang gejala perkauman (asabiyah) secara berkesan. Iaitu dengan mengadakan program besar dan kecil di seluruh negara, seperti masa lalu bagi menerangkan perjuangan PAS selama ini menentang perkauman.

Dalam masa yang sama menjelaskan kepada rakan komponan PAS dalam Pakatan Rakyat bahawa PAS akan terus komited menentang perkauman dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pun dalam perjuangan menentang gejala perkauman ini. Juga mempastikan bahawa golongan perkauman dari pihak mana pun tidak boleh dianggap mewakili suara dan sikap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Juga menuntut kerajaan Barisan Nasional bertegas menentang perkauman dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penentangan ini dengan tidak mengambil kira kepentingan dan faedah politik mereka.

Perlu diingat bahawa 31 tahun lalu, melalui Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-30 iaitu pada 13 April 1984, di Alor Setar, Kedah, PAS telah memilih tema Menggempur Pemikiran Asabiyah (perkauman) kerana pada waktu itu semarak perkauman yang ditiupkan oleh Umno-BN begitun kencang sekali.

Ucapan dasar tersebut yang disampaikan oleh Yang Dipertua PAS (Presiden), Tuan Haji Yusof Rawa menggariskan kejahatan perkauman di mana-mana dan bila-bila masa pun.

Kaatanya, parti perkauman Umno-BN meneruskan sikap perkauman ini hingga kini di mana akibatnya, perpecahan yang parah sedang berlaku.

Negara kehilangan arah dan keadaan tidak menentu.

Kini tidak sehari pun yang sunyi dari ledakan isu perkauman yang diteriakkan oleh pelbagai pihak, terutamanya sebelum pilihan raya, malah selepas pilihan raya dalam nada yang sangat mengerikan.

Maka meneliti kembali ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden PAS, Tuan Haji Yusuf Rawa 30 lalu itu kita melihat pandangan dan hujahnya menentang perkauman sangat relevan hingga hari ini.

Pandangan 31 tahun lalu itu tidak berubah.

Meninjau dan membandingkan keadaan 31 tahun lalu itu dengan keadaan masa kini lebih parah lagi, di mana isu perkauman menjadi modal politik yang sangat ampuh, digunakan oleh pihak tertentu dengan segala kepentingan mereka untuk terus mendapat keuntungan politik dan berkuasa.

Kesimpulannya, Umno yang mendukung pemikiran asabiyah adalah musuh utama PAS, walaupun kadang-kadang kedengaran kata-kata lunak dari pemimpin Umno mengenai PAS. Umpamanya ada pemimpin tertinggi Umno mengatakan, “Kini PAS bukan lagi musuh kita.”

Maka jangan terpedaya dengaan kata-kata manis ini.

Tiada ulasan: