"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelakon dicekup kali ke-4 kes dadah dengan peralatan memproses syabu

Pelakon dicekup kali ke-4
Johor Bahru: Tidak serik walaupun rumahnya pernah diserbu apabila dijadikan pusat memproses dadah di ibu negara beberapa tahun lalu, seorang pelakon lelaki ditahan polis untuk kali keempat bersama beberapa bahan memproses syabu dalam sekatan jalan di Pagoh, Muar, kira-kira jam 1.40 pagi semalam.

Difahamkan, pelakon berusia 37 tahun itu ditahan bersama rakan lelaki berusia 28 tahun di depan sebuah stesen minyak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor Asisten Komisioner Zulkifli Ali ketika dihubungi berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki Honda Jazz itu ditahan dalam satu sekatan jalan sebelum pemeriksaan dalam kereta menemui beg berisi empat paket plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 52.27 gram di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, berikutan penemuan itu, polis melakukan pemeriksaan susulan dalam kereta sama dan menemui satu paket dadah dipercayai syabu seberat 1,073 gram dan satu bekas plastik mengandungi bahan dipercayai syabu seberat 193 gram.

“Kami menemui dadah dipercayai jenis syabu berjumlah 1.3 kilogram dalam kereta itu dan pemeriksaan dalam but kereta menemui beberapa peralatan termasuk dapur elektrik, pengering, balang kaca dan corong kaca dipercayai untuk memproses syabu.

“Selain itu, kami menemui satu kotak mengandungi beberapa botol plastik tertulis HmbG Chemicals, Bendosen Aceton, Bendosen Toluene dan satu bekas tertulis Bendosen Calcium Chloride.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif syabu dan kini direman hingga 2 April bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal suspek mendakwa mahu ke Pagoh bertemu rakan dan polis kini menyiasat tujuan mereka membawa dadah berkenaan.

Pada 5 Mac lalu, pelakon sama ditahan bersama seorang wanita selepas polis menemui dadah jenis methamphetamine seberat 9.33 gram.

Pada 17 Ogos 2011, pelakon itu didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah terhadap tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram yang ditemui di rumahnya di sebuah kondominium.

Selain itu, pelakon sama pernah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah sama ke dalam badan pada 15 Mac 2010.

Bagaimanapun, pada 18 Ogos 2010, pihak pendakwaan menarik balik tuduhan itu selepas mengkaji notis bantahan dikemukakan pelakon terbabit
-hmetro-

Tiada ulasan: