"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pucuk kepimpinan PAS disifatkan sebagai "buang tabiat" patut berundur

ZULKIFLI SULONG
Adun Salor Datuk Husam Musa mengatakan haru biru dalam PAS boleh dihentikan sekiranya kepimpinannya ditukar. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 7 November, 2015.Adun Salor Datuk Husam Musa mengatakan haru biru dalam PAS boleh dihentikan sekiranya kepimpinannya ditukar.
Masanya kini tiba untuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletak jawatan sebagai Presiden PAS dan memberi laluan kepada pemimpin baharu yang mampu membawa perubahan kepada parti Islam itu, kata seorang bekas naib presiden parti.

Katanya, Hadi perlu diganti jika ahli berhasrat melihat pengakhiran kepada "kekeliruan " dan "haru biru" yang menyelubungi parti itu ketika ini, dengan pucuk kepimpinannya disifatkan sebagai "buang tabiat".

Ini susulan beberapa kenyataan bercanggah dibuat kepimpinan parti mengenai pendirian pihaknya dalam pelbagai isu - daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga kerjasama dengan Umno dan kumpulan sayap kanan Melayu, Perkasa - yang membuatkan akar umbi parti keliru.

Bagi menyelesaikan keadaan itu pada kadar segara, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangkan timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih pucuk kepimpinan PAS.

"Saya menerima pandangan Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz supaya pemimpin-pemimpin PAS tertentu berundur dan berehat dan memberikan laluan kepada pemimpin lain.

"Saya sebagai ahli PAS beranggapan, pandangan itu munasabah," kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu ketika ditemui The Malaysian Insider di rumahnya baru-baru ini.

Hassan, seorang penceramah agama terkenal, sebelum ini mencadangkan agar sesetengah pucuk pimpinan PAS berundur.

Hassan sebelum ini berkata kepada Sinar Harian, PAS semakin berada dalam keadaan tenat sekiranya pimpinan parti berkenaan masih tidak mahu melakukan sebarang perubahan.

Menurutnya, bagi memastikan ia kekal relevan, PAS memerlukan tiga golongan pemikir iaitu Ulul Ilmi (Ahli Ilmu), Ulul Albab (Ahli Falsafah) dan Ulul Abroq (golongan yang dapat melihat apa terjadi pada masa depan).

“Dalam politik, kita kena ada juga orang-orang dari bahagian akademik untuk masuk sekali dalam parti.

"Ulama akan fikir dengan cara dia tetapi dari sudut hendak bangunkan ekonomi, negara dan politik, kita kena juga pinjam orang dari bahagian akademik untuk bantu," kata Hassan.

Beliau juga menyarankan kepimpinan PAS sedia ada berehat dan memberi ruang serta peluang kepada golongan bawahan, terutamanya golongan muda dan profesional, dalam parti.

Bagi Husam, antara masalah yang dihadapi PAS sekarang ialah, pucuk pimpinannya tidak berterus terang dan tiada sefahaman.

"Jika (kumpulan yang) ikut presiden, mereka hendak kerjasama dengan Umno dan Perkasa. (Tetapi) Parti belum buat keputusan (muktamad)," katanya.

Beliau juga merujuk pertemuan antara PAS dan Perkasa bulan lepas, di mana Hadi dilihat dipeluk presiden badan pejuang hak Melayu itu, Datuk Ibrahim Ali.

"Bila presiden PAS dipeluk presiden Perkasa, PAS Selangor terus keluar kenyataan tolak Perkasa. Kalau perkara ini dibawa berbincang di peringkat PAS Pusat, tentu ia tidak berlaku.

"Ia menunjukkan, PAS belum ada konsensus, dan kenyataan-kenyataan politik mana-mana pihak, termasuk presiden, hanya ungkapan spontan yang tidak ditelaah, dikaji dan dihalusi. Ini yang menyusahkan PAS," katanya.

Hadi dan Ibrahim dilaporkan memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu.

Husam berkata, yang menyebabkan PAS dilihat huru-hara dan bercempera serta ahlinya keliru adalah kerana kenyataan politik pemimpin yang tidak dikaji dengan teliti dan tidak diputuskan PAS Pusat secara muktamad.

"Ini saja sudah cukup untuk runtuhkan PAS, bukan saja di Kelantan, bahkan di seluruh negara," kata bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu.

Begitu juga dalam kes 1MDB, beliau berkata, kenyataan pemimpin PAS yang mempertahankan 1MDB tidak dapat diterima akal oleh rakyat yang waras, apatah lagi oleh Islam.

"Islam tidak mungkin berkompromi dengan penyelewengan sebesar itu atas apa pertimbangan politik sekalipun," katanya.

Apabila pemimpin PAS membuat kenyataan yang disifatkannya sebagai "buang tabiat", penjelasan pula tidak dibuat kepada akar umbi, ia akan menyusahkan semua pihak, katanya.

"Saya di Kubang Kerian tidak terima penjelasan, apakah maksud PAS boleh kerjasama dengan Umno?

"Apa maksud kenyataan Datuk Ahmad Yaakob (menteri besar Kelantan) yang PAS boleh kerjasama dengan Umno untuk masalah tertentu.

"Kalau rumah banjir, itu bukan kerjasama parti, itu kerjasama kerajaan negeri dan pusat. Ini kekeliruan yang berlaku. Kekeliruan sebegini sudah cukup menghuru-harakan PAS," kata Husam yang merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Kubang Kerian, Kelantan.
-malaysianinsider-

1 ulasan:

Abdul Said berkata...

Macam mana Hadi nak berundur. Dia pun keliru dan haru biru. Bukan itu sahaja. Yang menyokong dia pun sama juga tak reti nak berfikir. Macam tidak ada perasaan. Yalah. Semua orang faham lebai dan ostad pun nak kereta besar, rumah besar, duit banyak, bini banyak dan nak pangkat dan gelaran juga. Tapi bai biar bepade!! Walau ape pun rasanya undi PAS sama macam undi UMNo!!!