"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keyakinan kepada Pakatan Harapan

A Shukur Harun
Tidak syak lagi, keperluan sangat mendesak supaya Pakatan Harapan diperkukuhkan dan semua pihak menerima kewujudannya.Tidak timbul lagi pelbagai kekeliruan, malah mimpi dan igauan serta bayangan kononnya Pakatan Rakyat masih wujud atau masih berfungsi.

Pakatan pembangkang yang ada sekarang hanya Pakatan Harapan – seperti yang dipersetujui PKR, DAP dan Amanah dalam majlis perisytiharan pemimpin parti bulan lalu.

Sekiranya masih ada tanggapan yang mengelirukan, maka ia hanya akan mengurangkan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap Pakatan baru pembangkang ini.
Pakatan Harapan boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang, bahkan prestasinya mungkin akan lebih cemerlang daripada Pakatan Rakyat.

Sepanjang yang saya tahu pendukung Parti Amanah Negara, walaupun baru di persada politik tanah air dan menjadi komponen Pakatan Harapan, memaksimakan usaha mereka untuk menarik sokongan rakyat pelbagai kaum.

Usaha ini nampaknya berhasil.

Program mereka hampir setiap hari di seluruh negara, termasuk di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang majoritinya adalah Melayu.

Di negeri itu, Amanah sedang menampakkan wajahnya yang menarik perhatian ramai. Ia dilihat sebagai parti golongan progresif dan terbuka, tetapi berpaksikan Islam.

Amanah mempunyai kemampuan besar untuk membantu memperkukuh Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.

Dengan kukuhnya Pakatan Harapan, pihak pembangkang mempunyai peluang untuk menguasai koridor kuasa di Putrajaya

dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular dan berjaya menafikan dua pertiga majoriti BN di Parlimen.

Dengan komposisi yang ada dalam Pakatan baru pembangkang, tidak mustahil ia akan mendapat kejayaan lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Saya fikir dengan kematangan politik pimpinan Pakatan Harapan, kesepaduan dan dengan tertubuhnya majlis presiden serta sekretariat Pakatan Harapan, segala peraturan, disiplin parti komponen dapat memperkukuh gabungan baru pembangkang.

Saya percaya, tidak akan ada lagi keputusan di dalam mesyuarat peringkat tinggi Pakatan Harapan itu boleh ditafsirkan sendiri sewenangnya.

Ertinya tidak akan berlaku lagi langkah bersendirian daripada pemimpin parti komponen, setelah mesyauarat peringkat tinggi itu mengambil keputusan.

Mesti diyakini sepenuhnya tidak akan ada lagi Pakatan pembangkang yang lain selain daripada Pakatan Harapan.

Jika ada tanggapan seperti itu, hanya akan melemahkan kedudukan Pakatan Harapan.

Tidak akan ada parti politik yang mampu bertanding sendirian dalam pilihan raya.

Ertinya tidak ada cara lain yang boleh mencapai kemenangan yang diharapkan.

Pakatan Harapan tentu menjadi perhatian rakyat dan mereka mulai menggantungkan harapan untuk menyelamatkan keadaan

1 ulasan:

IrWrWs berkata...

Saya pun sokong agar Pakatan Harapan mendapat tempat di hati rakyat demi menghadapi musush yg sama.. cumanya rakyat perlu memilih PAS jika bertembung dgn BN dan PH.. kerana PAS lebih bertanggungjawab dlm memerintah..