"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah bukan parti menumpang - Mat Sabu jawab Datuk TITM

Mohamad Sabu
TUMPAT: Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah parti yang menumpang Pas tegas presidennya, Mohamad Sabu.

Malah kejayaan Pas selama ini juga kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah atas usahanya kerana beliau bersama Pas dan membina parti Islam Pas itu selama 37 tahun.

“Kita tak tumpang Pas, kejayaan Pas selama ini kejayaan bersama.

"Saya baru tinggalkan Pas empat bulan, jadi selama ini 37 tahun saya telah bina Pas, kejayaan Pas selama ini kami yang buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program Santai Pagi Bersama Presiden di dataran Wakaf Bharu bersebelah Pasar Wakaf Bharu, pagi tadi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Amanah seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh Pas selama ini berikutan kenyataan Mat Sabu, Amanah sedia mengantikan Pas mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU 14.

Mengulas kesediaan Amanah menggantikan Pas, Mat Sabu berkata, ia bukan satu mimpi selepas melihat sokongan rakyat pada parti Amanah.

“Tak mimpi... tak mimpi… kami akan melihat perkembangan sokongan, setakat ini sokongan sangat hebat,” katanya.

Dalam ceramahnya di Pasir Mas kelmarin, Amanah mempertimbangkan untuk meletakkan calon PRU 14 di Kelantan sekaligus berusaha mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan.

Hasrat itu bagi menyelamatkan Kelantan kerana mendakwa Pas negeri itu terpalit dengan pelbagai isu dan masalah.

------------------------

Amanah dilihat mahu ‘tumpang’ kejayaan Pas
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat ingin menumpang Pas yang telah berjaya meletakkan asas Islam dan membina negeri yang lebih baik di Kelantan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Amanah perlu fokus kepada negeri lain dan membina asas sendiri dari merampas Kelantan daripada Pas.

“Amanah seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh Pas selama ini. Situasi di Kelantan sebenarnya sudah sangat baik. Tiada keperluan untuk tukar kerajaan baharu.

“Saya fikir seeloknya mereka cuba fokus di negeri lain yang masih teruk dan perbetulkan polisi dasar supaya menepati kehendak Islam,” katanya, semalam.

Kelmarin, Amanah melalui Presidennya Mohamad Sabu berkata sedia menggantikan Pas mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU14.

Kata Tuan Ibrahim lagi, kenyataan Mohamad itu juga telah menyebabkan matlamat asal penubuhan Amanah telah tersasar.

“Mereka perlu ingat asas mereka pada awal penubuhan Amanah dahulu ingin menewaskan Umno bukan menyerang Pas.

"Mereka sudah lari matlamat asal mereka dan parti tersebut hanya cakap tak serupa bikin,” katanya, semalam.

Namun kata Tuan Ibrahim, Pas tidak pernah gentar dengan kenyataan Amanah tersebut dan yakin rakyat di Kelantan masih menerima Parti itu.

“Semua orang boleh mendakwa bahawa parti mereka mendapat sambutan. Tetapi Pas sememangnya masih kukuh dan kuat di Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pas menyerahkan keputusan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membenarkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai hudud dibentangkan di Dewan Rakyat setelah mahkamah membenarkannya.

“Pandikar perlu menjadikan keputusan mahkamah itu sebagai satu rujukan dan memberikan laluan kepada pembentangan RUU itu,” katanya.
-sinarharian-

1 ulasan:

IrWrWs berkata...

Kalau aku tahu mat sabu akan tolak hudud jika dap tolak hudud, pasti aku dah tendang mat sabu 37 tahun yg lalu.