Tan Sri Zainuddin Maidin
Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh dipecat dari jawatan timbalan presiden Umno kerana beliau dipilih perhimpunan agung, tetapi pemecatannya sebagai ahli Umno secara automatis akan menggugurkannya dari jawatan penting itu.Pemecatan sebagai ahli boleh dilakukan jika ada bukti yang kukuh.
Inilah yang sedang digerakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dengan berkata siasatan terhadap 7 pemimpin Umno sedang dijalankan kerana kenyataan mereka yang boleh menjejaskan parti.
Usaha untuk mengkondisikan ketua bahagian dan ahli Umno menerima tindakan ini sudah pun didahului komando Umno dengan dakwaan 75 % ketua Umno Bahagian, malah ada yang kata 95%, siap sedia menyokong tindakan ini.
Sementara itu, rakan karib Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, juga lantang bersuara mendesak tindakan tegas tanpa mengira jawatan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Barangkali, Muhyiddin menyedari perancangan terhadapnya, maka itu beliau berhati-hati dalam meneruskan kritikannya tetapi dalam suatu forum di Johor Baru baru-baru ini, beliau menganggap "pengecut" pemimpin Umno yang menyokong presiden. Ini mendorong penyokong-penyokong Najib menjadi semakin agresif.
Exco Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin, tidak nampak masalah untuk penyingkiran Muhyiddin kerana sebahagian besar anggota Majlis Tertinggi adalah juga ketua bahagian.
"Mereka tahu apa untuk dilakukan pada mesyuarat MT akhir bulan ini," katanya (Star, 30 Oktober).
Langkah mencantas Muhyiddin mesti dilakukan sebelum Perhimpuan Agung Umno tidak lama lagi kerana kehadiran Muhyiddin sebagai timbalan presiden mungkin akan menimbulkan kekecohan yang boleh menjatuhkan maruah Najib sebagai presiden Umno, jika berlaku tindakan provokasi antara kedua pihak.
Mencantas Muhyiddin juga perlu dilakukan lebih awal supaya bakal timbalan presiden Umno dapat dinaikkan sebelum Perhimpunan Agung Umno menjelang pilihan raya umum akan datang dan supaya Najib dapat berkuasa sehingga pilihan raya umum itu.
Ini juga akan memberi peluang kepada Najib mengkosolidisasikan lagi kekuatannya dalam parti dan memperbaiki ekonomi negara, tetapi ini belum pasti akan dapat memastikan pemulihan sokongan orang Melayu kepada Umno untuk terus bekuasa kerana semangat bahagian dan ahli Umno sangat rendah kerana kerosakan imej kepiminan negara yang sangat parah.
Saya mendengar cakap-cakap ada negeri yang mahu mengadakan pilihanraya Dewan Undangan Negeri secara berasingan atau bersendirian seperti Sarawak, supaya tidak menampakkan penglibatan imej Najib, tetapi atas kekuatan imej menteri besar sendiri.
Supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk, maka Muhyiddin dan beberapa orang lagi yang masih merancang untuk menjatuhkan Najib, mestilah bersedia untuk dicantas kerana merosakan imej parti walaupun niat jujur hendak menyelamatkan parti, tetapi akhirnya kebenaran politik terletak di mana kita berdiri.
Ini kerana Umno tidaklah berasaskan kepada ideologi rigid, sebaliknya pragmatik. Ketua bahagian Umno melihat langkah menyelamatkan kepentingan peribadi Najib adalah perlu untuk kekuatan parti daripada menyelamatkan parti untuk kepentingan seluruh rakyat.
Keputusan ini mereka buat oleh kerana Najib adalah King of Money yang mempunyai pengalaman lama dalam Umno iaitu Money is King. – zamkata.blogspot.my
* Tan Sri Zainuddin Maidin ialah bekas menteri penerangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan