"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz Omar pertahan Husam Musa

Mahfuz: Tiada rasional untuk Husam keluar PAS

Datuk Mahfuz Omar berpendapat, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa tidak akan keluar daripada parti Islam itu.

Malah, ahli Parlimen PAS Pokok Sena itu juga berkata, beliau juga melihat tiada rasional sekiranya Husam berbuat demikian.

Kata Mahfuz, berdasarkan pemerhatiannya, apa yang dilakukan Husam selama ini hanya untuk mengetahui ketelusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan juga PAS.

"Saya tak fikir dia akan keluar (parti). Saya lebih melihat, dia nak ketelusan dalam pengurusan negeri khususnya dan parti (amnya). Itu apa yang saya dapat baca daripada kenyataan yang dilakukan. Tak lebih dari itu.

"Saya tak nampak apa rasionalnya dia nak keluar dari PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Selain itu, ditanya sama ada Husam masih lagi berteka-teki untuk keluar daripada PAS disebabkan baiah yang dilakukan sebelum ini, Mahfuz menafikannya.


Menurut Mahfuz, isu baiah bukan punca mengapa Husam masih lagi kekal bersama PAS.

"Saya tak fikir masalah baiah yang mengikat dia untuk tak keluar. Orang lain boleh keluar, tak akan dia tak boleh keluar. Saya lihat dia cuma mahukan ketelusan integriti dalam kerajaan negeri," kata Mahfuz.

Sehubungan itu, Mahfuz turut mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan mengambil tindakan undang-undang terhadap Husam sekiranya pelbagai dakwaan yang dibuatnya sebelum ini tidak berasas.

"Kalau kerajaan negeri rasa apa yang dikatakan (Husam) salah dan tak betul, mereka harus ambil tindakan undang-undang pada Husam.

"Kerajaan negeri kena bersihkan nama mereka sama ada benar atau tidak apa yang didakwa Husam. Kalau tak benar, kena bersihkan imej kerajaan negeri dan Husam perlu diambil tindakan undang-undang. Ini soal integriti," ujarnya lagi.

Sebelum ini, berikutan kelantangan mengkritik Presiden PAS, Dewan Ulama parti itu menyarankan Husam keluar parti.

Ketua dewan itu Datuk Dr Mahfodz Mohamed malah mencadangkan Husam menyertai parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Husam bagaimanapun hanya akan menjawab sama ada beliau akan meninggalkan PAS atau tidak pada sebuah majlis dialog hari ini di Kota Bharu.

“Saya akan jawab dalam majlis dialog Demo Tanya Ambo Jawab,” kata Husam ringkas.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: