"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembohongan akhirnya terbongkar

Pembohongan akhirnya terbongkar
Anggota penguat kuasa JAIM ketika menjalankan siasatan awal terhadap kedua-dua wanita yang didapati berkelakuan dan berpakaian tidak sopan ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya.
BANDARAYA MELAKA: Seorang wanita bukan sahaja sanggup menggunakan nama Allah malah turut beristighfar ketika menipu kononnya mahu meyakinkan penguat kuasa bahawa dia telah menyerahkan kad pengenalannya ketika diminta semasa pemeriksaan dalam satu operasi bersepadu di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, kelmarin.

Malah wanita berusia 41 tahun bersama rakannya berumur 37 tahun itu mendakwa telah menyerahkan kad pengenalan kepada seorang lelaki bertopi dan sempat mengenyit mata kepada mereka ketika kad identiti tersebut diserahkan.

“Demi Allah, tadi I dah bagi”

Itu antara ayat yang diulang-ulang wanita yang berpakaian menjolok mata berwarna hitam ketika ditanya anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kesihatan negeri ketika ujian saringan awal urin dan HIV dilakukan kepada dia dan rakannya dalam operasi bersepadu bersama pelbagai agensi dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kira- kira jam 2.45 pagi.

Pembohongan terbongkar kira-kira setengah jam apabila anggota penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Imigresen negeri menjumpai kad pengenalan di dalam beg tangan kedua-dua wanita berkenaan.

Kad tersebut ditemui selepas pemeriksaan kali kedua di sebalik duit kertas berlipat pada poket kecil berzip dalam beg wanita berusia 41 tahun dan ditindih dengan kad-kad lain di dalam beg kecil yang terdapat di dalam beg tangan wanita berusia 37 tahun itu.

Kedua-dua wanita yang masing- masing berasal dari Merlimau dan dan Banda Hilir itu juga menunjukkan muka selamba seolah- olah tiada rasa bersalah menipu penguat kuasa yang mula bengang dengan sikap mereka apabila pembohongan terbongkar.

Terdahulu, kedua-dua wanita tersebut didapati tiada jangkitan HIV dan tidak dipengaruhi dadah selepas pemeriksaan darah dan ujian saringan awal urin terhadap mereka negatif.

Bagaimanapun, mereka dikenakan tindakan oleh anggota penguat kuasa JAIM kerana didapati berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di khalayak mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Rahimin Bani berkata, dua wanita berkenaan antara tujuh yang diberi surat perintah hadir ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut dan dokumentasi.

“Kesemua wanita berusia 21 hingga 41 tahun telah didapati memakai pakai tidak sopan ketika pemeriksaan dijalankan di dua buah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, semalam (kelmarin).

“Kita minta masyarakat Islam menghormati undang-undang yang mewajibkan umatnya berpakaian sopan yakni menutup aurat bukan sahaja di pusat hiburan tetapi di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan termasuk didakwa ke Mahkamah Syariah terhadap individu yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan yang diperuntukkan undang-undang.
-sinarharian-

Tiada ulasan: