PAS merupakan sebuah parti yang berpengalaman dalam konteks politik Malaysia. Penubuhan PAS adalah permulaan awal kepada terma "pecah belah" undi Melayu dan Islam di Tanah Melayu dan Malaysia.
Pertembungan antara faham nasionalis dan agamanis ketika itu mendorong mereka yang tidak dominan bagi melaksana agenda "Islam" bertindak menubuhkan PAS selepas kegagalan calon bernuansa agama Ahmad Fuad Hasan gagal merebut jawatan Yang Dipertua.
Maka tertubuhlah PAS pada 1951 yang menjadi saingan politik kepada Umno ketika itu hingga ke zaman gemulah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bermulalah perjalanan parti serpihan Umno iaitu PAS sebagai parti pembangkang yang digeruni. Hikayat parti serpihan ini tidak terhenti di situ kerana selepas itu wujud pelbagai parti serpihan baik daripada PAS dan Umno seperti Berjasa (1970-an), Hamim (1980-an) dan Semangat 46(1980-an).
Namun pasca pulangnya sosok yang mesra dengan panggilan Tok Guru Nik Aziz kepada penciptaNya mengubah lanskap politik PAS.
Perubahan drastik dan besar itu boleh dianggap sebagai tsunami konservatif yang lama bergulung bagai membadai mereka yang lebih progresif ketika mereka asyik dengan konsep PAS untuk semua.
Mereka alpa dengan gerakan fitnah dan pembunuhan watak (character assassination) yang dijalankan untuk bertemu dengan pemilihan parti dalam muktamar 2015.
Kelekaan itu kekal sehingga keputusan pemilihan itu diumumkan. Dalam ucapan akhir mereka dipentas muktamar tersebut, barulah terzahirnya rasa kecewa, marah dan geram. Itulah permulaan bagi mereka dan bukannya pengakhiran.
Selepas kisah itu maka tertubuhlah Amanah. Menelusuri sejarah mengapa ia ditubuhkan sebenarnya tidak ada beza sebab utama PAS ditubuhkan hampir tujuh dekad yang lalu.
Dek kerana tidak mampu bergerak dengan agenda kusam dan lapuk PAS maka beberapa bekas pimpinan PAS mengambil keputusan bagi menubuhkan Amanah pada 2015.
Ia ditunjangi pimpinan yang mahu membawa corak politik lebih bersifat tenang dan sederhana. Tidak mahu menjadi penghukum dan tuhan dalam pertembungan dengan lawan politik mereka.
Dan barisan pimpinan yang ada hari ini jugalah yang berusaha mengangkat PAS itu lebih terbuka dan inklusif sehingga mampu mewujudkan gabungan yang kuat bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat selepas 2008.
Hingga ke saat ini pemimpin yang sama komited kepada agenda perubahan bersama. Walaupun pemimpin Amanah ini adalah kelompok yang sama dilabel sebagai "barua" DAP oleh Umno ketika mereka masih di dalam PAS, mereka terus kekal dengan nekad dan tekad yang sama untuk menjatuhkan kezaliman yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten.
Natijahnya, hubungan Amanah dan DAP bukan saja menjadi bola tanggung kepada Umno, malah PAS juga mula menggunakan kalam "kuda tunggangan" DAP kepada pimpinan Amanah hari ini.
Begitulah harga yang perlu dibayar oleh mereka demi memperkenalkan politik yang lebih harmoni dan berhemah.
Itulah keberanian pimpinan Amanah yang perlu dan wajar dicontohi oleh pimpinan PAS yang masih terperangkap dalam politik bangsa dan agama. Walau dihina dan dimaki demi kesejahteraan rakyat Malaysia mereka merelakan tubuh mereka dilukai.
Tidak seperti pimpinan PAS hari ini. Mereka lebih suka berselingkuh secara terbuka tetapi dalam masa sama menafikan hubungan gelap mereka.
Ketakutan ini adalaj sesuatu yang perlu difikirkan oleh masyarakat dan penyokong PAS. Jika benar meraka mahu mengembalikan undi dan sokongan Melayu Muslim kembali dilihat satu, inilah masa yang paling sesuai untuk mereka bersatu menjadi satu.
Jika tidak itulah yang perlu disedari oleh rakyat akan sikap PAS yang semakin mirip kepada Umno yang hanya menjadikan sentimen sebagai alat memenangi pilihan raya.
Ketakutan PAS kepada Amanah memang berasas tetapi adalah tidak logik kewujudan Amanah menjadi penyebab kepada terpecahnya undi Melayu dan Muslim.
Dan inilah masa PAS menjadi adiwira menyatukan kembali undi Melayu dan Muslim. Itu pun jika mereka berani, jika tidak merekalah penyebab awal dan penyebab besar mengapa undi Melayu dan Muslim itu terus terpecah belah. Mungkin penyatuan itu dapat menyegerakan RUU 355 yang lama tertangguh. – 21 Februari, 2018.
* Muhammad Syafiq Azmi adalah ketua Pemuda Amanah Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan