"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja Islam hina Kristian diperintah hafal surah puji Maryam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga remaja Lubnan beragama Islam diperintah menghafal ayat-ayat Al-Quran yang memuji Maryam, ibu kepada Nabi Isa, selepas didapati bersalah menghina agama Kristian.

Hakim Joceline Matta, seorang penganut agama Kristian, ketika membacakan keputusannya minggu lepas berkata beliau mahu 3 remaja itu belajar tentang penghormatan yang Islam berikan pada Maryam kerana mereka menghina ibu Nabi Isa itu.

Joceline berkata undang-undang “mahu mendidik dan bukan hanya menghukum”, lapor portal British, The Independent pada Selasa lalu.

Tiga remaja itu diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina agama, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 3 tahun. Tuduhan itu meliputi penghinaan secara lisan atau secara fizikal mencemar upacara dan objek keagamaan.

Agama Kristian dan Islam amat menghormati Maryam, ibu kepada Isa yang dianggap orang Islam sebagai salah seorang utusan Tuhan yang utama. Maryam dipuji dalam kitab-kitab Islam dan namanya disebut secara khusus dalam Al-Quran.

Hakim Matta berkata ada surah dalam Al-Quran yang dinamakan bersempena Maryam menunjukkan ketiga-tiga remaja itu jahil tentang agama mereka.

Mereka mesti mempelajari ayat-ayat daripada surah Ali Imran, yang mengandungi rujukan kepada Maryam, jika mahu dibebaskan, katanya.

Keputusan Hakim Matta menjadi perbualan di Lebanon, negara yang pernah melalui perang saudara antara orang Islam dan Kristian pada 1990 yang menyaksikan 120,000 orang terkorban.

Media sosial menyeru keputusan oleh Hakim Matta dijadikan contoh untuk kes-kes lain. Presiden Saad Hariri berkata hukuman itu teladan yang unggul dan mempromosikan kehidupan bersama orang Islam dan Kristian dengan “mengajar nilai-nilai bersama”.

Tiada ulasan: