"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu jawab Hadi

‘PAS tak pecah undi Melayu?’ tanya Mat Sabu Nabihah Hamid

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu mempertikai PAS kerana menuduh partinya memecahbelah orang Islam dan undi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, tuduhan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu tidak adil kerana hanya menyalahkan Amanah dan bukan parti lain termasuk PAS sendiri.

"Kenapa apabila Amanah mahu bertanding melawan Umno dan PAS, maka dikatakan membawa perpecahan kepada Melayu?

"PKR dan Bersatu juga akan menentang Umno dan PAS, adakah mereka juga dianggap membawa perpecahan kepada Melayu?

"Kenapa pula apabila PAS mengisytiharkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang PKR, ia tidak dianggap sebagai membawa perpecahan kepada Melayu?," soalnya yang dikenali sebagai Mat Sabu.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu menegaskan Amanah adalah parti berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan akan bertanding mengikut kesesuaian di dalam Pakatan Harapan (PH).

"Amanah adalah sebuah parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan bersama tiga lagi parti iaitu PKR, DAP dan Bersatu. Sudah tentu pembahagian kerusi pilihan raya dibincang dan dilaksanakan secara bersama dalam Pakatan Harapan.

"Kita mempunyai agenda besar untuk melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik demi negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, sekiranya PAS mengambil berat mengenai isu undi Melayu pecah, maka parti Islam itulah yang seharusnya dibubarkan kerana parti itu adalah punca sebenar pemecah undi Melayu.

"Kalau dia kata pecah undi Melayu dan tak boleh. PAS bubarlah. Bagi kita soal Melayu pecah ke tak pecah ia adalah persoalan kedua. Yang utama, kita hendak memimpin umat Islam menentang rasuah penyelewengan dan menolak budaya politik Umno yang rasuah.

"Dia (PAS) kena ingat. Siapa yang jadi blok ketiga? Kalau dulu sewaktu Pakatan Rakyat, kita hanya ada dua. Dan sekarang? Dia (PAS) yang buat sebab. Apa dia cakap, dia buat, bercanggah. Maka bubarkan sahajalah. Jangan pecah undi Melayu.

Kenyataan mereka ini sebagai tindak balas terhadap komen Hadi dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pagi tadi yang menyifatkan Amanah dalam PRU14 nanti hanyalah akan memecahbelahkan orang Islam dan mengacau undi Melayu.

Hadi turut mendakwa bahawa tindakan Amanah bertanding di kerusi PAS hanya akan memberi kemenangan kepada Umno.

Beliau juga melihat Amanah sebagai parti serpihannya sebelum ini tidak berpengaruh dan akan terkubur ditelan zaman sepertimana parti Islah, Parti Berjasa sebelum ini.

Justeru, pagi tadi, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan Hadi Awang cemburu dengan Amanah yang masih kekal bersama PH.

"Kewujudan Amanah adalah untuk menebus kegagalan PAS ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Kita sudah (ditubuhkan selama) dua tahun sedangkan hakikat kewujudan kita adalah untuk melangsungkan apa yang PAS gagal bawa semasa Pakatan Rakyat.

"Isu kata (Amanah) pecah belah umat Islam, undi Melayu adalah isu lama. Kita hidup pada garisan demokrasi. Sebelum ini PAS meruntuhkan Pakatan Rakyat.

“Kelahiran Amanah melangsungkan ikatan pembangkang yang mana disambut dengan PKR dan DAP," katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam menegaskan PAS akan "mati" sekiranya berdamping dengan Umno.

Khalid berkata, Amanah bertindak keluar daripada PAS kerana tidak mahu mesra Umno dan kini terbukti kekal sehingga kini bersama PH.

"Sejarah tak semesti berulang kembali kerana PAS dulu serpihan daripada Umno tapi terus hidup. PAS tak bertahan oleh kerana di atas landasan yang mantap.

"Maka, PAS mengasingkan diri daripada pemerintahan dan dia kekal. Tetapi sekarang? Dia pergi dengan Umno. Amanah yang lawan dengan Umno. PAS bersama dengan Umno. Maka PAS yang akan mati, Kalau ikut sejarah. Itulah yang akan terjadi.

"Siapa yang berdamping Umno dia akan yang akan mati," katanya kepada The Malaysian Insight.

Tiada ulasan: