"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penarikan darjah kebesaran jejas peluang Husam jadi MB

PELUANG Husam Musa untuk jadi menteri besar Kelantan terjejas selepas beliau diarah memulangkan darjah kebesaran negeri kepada Istana Kelantan, kata penganalisis politik.

Arahan mengembalikan semula darjah kebesaran membayangkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak begitu berkenan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu sedangkan pelantikan ke jawatan menteri besar perlu mendapat perkenan baginda, tambah penganalisis.

“Ia memberikan kesan langsung kepada Husam sebab dia disebut-sebut bakal MB Kelantan jika PH menang," kata Hisomuddin Bakar, seorang penganalisis politik yang banyak mengkaji politik Kelantan.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre itu mengulas tindakan Istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran kepada Husam dan juga Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagaimanapun ada juga penganalisis yang berpendapat ia tidak akan memberi kesan besar pada Husam kerana penyokong Amanah mahu bekas timbalan menteri besar itu dilantik menjadi menteri kerajaan persekutuan.

Penganalisis politik Kelantan, Dr Khairudin Damanhoeri berkata, Amanah juga menaruh harapan pada Nik Omar Nik Abdul Aziz iaitu anak kepada bekas Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar untuk mengetuai pentadiran negeri.

"Bagi orang Amanah, mereka diberitahu calon MB mereka adalah Nik Omar untuk membolehkan beliau membawa legasi Tok Guru Nik Aziz," kata Dr Khairudin kepada The Malaysian Insight.

"Bagi kami, Husam ini bakal menteri pusat," kata Khairudin lagi yang banyak membuat kajian pilihan raya untuk Husam dan pasukannya di Kelantan.

Penarikan balik gelaran ke atas dua pemimpin Amanah negeri itu disambut dengan gembira oleh penyokong PAS yang antara lainnya menempelak Husam kerana didakwa tidak mengetahui pandangan sebenar Sultan Muhammad V ke atasnya.

"Dulu mungkin dia tak tahu Sultan tidak suka dia jadi menteri besar. Sekarang sudah terang lagi bersuluh. Faham-fahamlah," tulis penyokong PAS, Mazlan Ahmad dalam komennya di Facebook.

Makluman tentang penarikan gelaran untuk Husam dan Wan Rahim itu turut dimuatkan ke Facebook oleh Siti Zailah Yusof, ahli Parlimen Rantau Panjang dari PAS.

Husam dan Wan Abdul Rahim memulangkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Paduka itu hari ini selepas menerima arahan dari Istana Kelantan pada petang semalam.

Husam, pengerusi PH Kelantan dan Wan Rahim, pengerusi Amanah Kelantan menerima anugerah itu ketika mereka bersama-sama PAS dalam kerajaan Kelantan.

Kini kedua-duanya adalah pembangkang kepada kerajaan Kelantan apabila menyertai Amanah selepas PAS berpecah pada 2015.

Wan Rahim keluar PAS dan menyertai Amanah manakala Husam pula dipecat parti Islam itu pada 2016 sebelum menyertai parti serpihan PAS itu.
-malaysianinsight

Tiada ulasan: