"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat terbuka Mahfuz kepada Tok Guru Awang Lanai

Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Guru Abdul Wahab Hassan (Tok Guru Ust Awang Lanai) dari Madrasah Tahzib An Nufus atas kenyataan beliau seperti disiarkan akhbar Sinar Harian mengenai nasihat beliau terhadap saya agar jangan tinggalkan perjuangan Islam.

Satu ingatan dan nasihat yang sangat bermanfaat dalam kehidupan saya dan bisikan ingatan serta nasihat itu tidak akan saya lupakan.

Saya selamanya tetap terus mendukung perjuangan Islam dan tidak pernah terlintas di minda biarpun sebesar zarah untuk saya meninggalkan kewajipan membawa Islam bersama kehidupan perjuangan saya.

PAS hanya satu wadah dari banyak wadah yang boleh menjadi pilihan pada setiap umat Islam. Usah gusar atau bimbang kerana saya hanya tinggalkan PAS tetapi tidak tinggalkan Islam dan perjuangan Islam.

Perjuangan Islam bukan hanya terikat pada pemahaman satu juzu' sahaja sebaliknya tuntutan perjuangan Islam sangat luas.

Menentang kezaliman, salah guna kuasa,lawan dan basmi rasuah, menentang penindasan ke atas rakyat, membela kehidupan rakyat yang terhimpit dengan cukai GST, memastikan pendidikan rakyat terbela dan sebagainya juga adalah tuntutan perjuangan Islam.

Islam menuntut agar berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Oleh demikian,saya sedang bersama rakyat bangkit memperjuangkan perubahan dan peralihan kuasa politik negara dari kleptokrat Umno/BN kepada Pakatan Harapan dan bukannya berkempen untuk menang 40 kerusi parlimen untuk menjadi 'king maker' ( kuasa penentu) bagi membentuk kerajaan campuran dengan Umno / BN.

Justeru, saya berharap Tok Guru dapat memahami situasi kedudukan saya bersama arus perdana harapan rakyat.

Saya sangat berbangga dan menyanjung tinggi prinsip Tok Guru yang menterjemahkan politik matang apabila dapat menerima menantu Tok Guru, Mohd Fauzi Abd Rahim dan isterinya Siti Sofor Abd Wahab yang juga anak Tok Guru setelah mereka keluar dari Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) serta memegang jawatan dalam parti AMANAH.

Ini mencerminkan keterbukaan dan kematangan berpolitik Tok Guru yang cukup mulia.

Moga tiada lagi politik yang memisahkan keluarga,bercerai berai dan pulau memulau kerana perbedaan fahaman parti politik.

Terima kasih Tok Guru, teruslah ingat dan nasihatkan saya yang kerdil ini kerana amatlah rugi jika saya tidak boleh menerima sesuatu teguran.

Saya doakan moga Tok Guru dilindungi,diberi kesihatan yang baik untuk terus mendidik ummah, dirahmati dan di berkati Allah dunia akhirat.


"Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi Tok Guru saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun."
-malaysiakini 

Tiada ulasan: