"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tawaran kerusi pada Khalid dekatkan hubungan cinta PAS, Umno'

Tawaran PAS Selangor memberikan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai kaitan dengan kesediaan parti itu membentuk kerajaan campuran dengan Umno BN, kata anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, berdasarkan kenyataan dibuat Pesuruhjayanya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi itu menunjukkan PAS tiada masalah menerima Khalid walaupun bekas menteri besar Selangor itu tidak akan bertanding atas tiket PAS.

Tambahnya keputusan itu juga menunjukkan PAS Selangor secara tidak langsung sudah mendapat 'lampu hijau' daripada PAS pusat.

"Nampaknya PAS tidak perlu menunggu sehingga selesai PRU14 untuk jadi kuasa penentu apabila pilihan hati sudah dizahirkan dalam menentukan siapa bakal MB Selangor selepas PRU14," kata Mahfuz dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, Khalid sendiri menyatakan kesediaan membantu BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14 dan pada masa sama membantu kemenangan PAS.

"Perkembangan sebegini makin dilihat mendekatkan hubungan cinta panas asmara PAS dan Umno, walaupun pada PRU14 akan datang PAS dan Umno BN dilihat berkelahi, kata mengata antara satu sama lain.

"Tetapi itu adalah ibarat perselisihan kisah percintaan rajuk merajuk dan memujuk, dalam masa sama PAS tetap berharap akan dapat naik pelamin bersama Umno BN untuk direnjis air mawar selepas PRU14 selesai," kata Mahfuz.

Sebelum ini Sallehen dilapor menyatakan keterbukaan untuk menawarkan kerusi kepada Khalid tanpa perlu menjadi anggota PAS.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan exco kanan Selangor, Datuk Iskandar A Samad mendakwa media tersalah tafsir semasa memetik kenyataan Sallehen.

Dalam wawancara khas bersama Malaysiakini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengakui Khalid tokoh yang sangat dihormati, berpengalaman dan mendapat sokongan penuh daripada parti Islam itu.

Khalid pula menyatakan terpulang kepada dirinya untuk menyokong mana-mana pihak, namun secara jelas menyatakan tidak akan memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi laman sosial, Khalid mendakwa rakyat Selangor akan rugi lebih RM2 bilion dalam isu penyusunan semula industri air sekiranya sokongan diberi kepada Ahli Parlimen Gombak yang juga Adun Bukit Antarabangsa itu.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: