"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua atlet para negara cipta rekod baharu dunia

Atlet negara Abdul Latif Romly menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara akhir lompat jauh kategori lelaki T20 sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. Gambar kanan: Atlet negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara akhir 100m balapan kategori lelaki T36 sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. - Foto Bernama
DUA atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mempamerkan aksi cemerlang dengan mencipta rekod baharu dunia dalam acara masing-masing pada hari kedua acara olahraga Sukan Para Asia 2018 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini hari ini.

Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Abdul Latif turut mempamerkan aksi memukau dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).

Anak jati Perlis itu melakukan lompatan sejauh 7.64 meter, sekali gus memadamkan rekod terdahulu miliknya, 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

Mohamad Ridzuan yang ditemui pemberita Malaysia selepas acara berkenaan nyata berbangga dapat memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.

"Dik Wan nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara serta ibu bapa Dik Wan yang banyak beri sokongan dan kemenangan ini untuk mereka semua,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Abdul Latif yang tidak menyangka dapat memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara berkenaan memandangkan beliau menerima saingan sengit daripada peserta lain.

"Syukur, Alhamdulillah dan ini di luar jangkaan, namun saya gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas dan perbaharui rekod dunia milik saya sendiri," kata anak jati Perlis itu. - Bernama

Tiada ulasan: