"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MUHYIDDIN TAK LAYAK DIBERI PUJIAN

Shahbudin Husin
Sekarang ini seolah-olah terdapat kecenderungan yang membuak-buak untuk pelbagai pihak mula tampil memuji dan menyanjung Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Penganalis politik, pensyarah universiti dan pusat-pusat kajian tertentu nampaknya macam silih berganti mengeluarkan naratif dan dapatan baru yang kononnya Muhyiddin adalah Perdana Menteri terbaik dan kian mendapat sokongan rakyat.

Cuba juga digambarkan bukan setakat Muhyiddin lebih diterima rakyat, bahkan dibentangkan bahawa Perikatan Nasional atau PN lebih dikehendaki terus menjadi kerajaan berbanding MN atau BN yang merupakan sebahagian daripada PN sekarang.

Secara kasarnya dapat dilihat bahawa semua penonjolan itu tidak setakat untuk meremehkan kedudukan MN dan BN, malah secara halus seperti tidak mahu memberi ruang kepada PH menjadi kerajaan semula.

Benarkah gambaran yang cuba diberi terhadap Muhyiddin itu?

Atau layakkah Muhyiddin diberi pujian dan terus dikekalkan lagi jika ada PRU mengejut diadakan?

Satu perkara nyata yang harus kita sedari ialah menjadi Perdana Menteri bermakna seseorang itu harus banyak bercakap, tidak takut melontarkan idea, berani menonjolkan diri dan tidak bersembunyi di pejabat saja.

Meski ketika PKP dahulu kita boleh menerima keadaan Muhyiddin yang tidak muncul di khalayak awam, tiada program terbuka, tidak bersoal jawab dengan media dan seumpamanya, tetapi apakah setelah enam bulan duduki di kerusi empuk paling berkuasa dan era PKP sudah bertukar kepada PKPP, kita masih mahu menerima keadaan yang sama?

Apakah pada waktu ini beliau masih perlu hanya sekadar memberi perutusan khas secara sehala, mengeluarkan kenyataan media atas semua isu, tidak mahu bersoal jawab dengan wartawan dan seolah-olah seorang Perdana Menteri yang bisu terhadap segala persoalan yang bermain di minda rakyat?

Jika begitu, bagaimana kita mahu menilai Muhyiddin sebagai seorang Perdana Menteri yang hebat, ada idea, hujahnya boleh diterima serta berketrampilan yang meyakinkan yang kalau pun tidak lebih tinggi, setidak-tidaknya menyamai semua Perdana Menteri sebelum ini?

Sampai bilakah Muhyiddin mahu berselindung di sebalik Covid-19 untuk menyelamatkan kedudukannya?

Walaupun Covid-19 diakui banyak pihak telah menyelamatkan kedudukan Muhyiddin daripada asakan ramai, beliau harus juga sedar banyak penyelesaian kepada rakyat akibat wabak itu tidak begitu menggembirakan rakyat dan hanya menunggu masa saja untuk memuntahkan lahar yang lebih membahang selepas ini.

Terutamanya apabila habis tempoh moratorium bulan depan dan dalam masa yang sama permintaan lanjutan tidak dihiraukan, selain banyak yang terkecuali daripada menerima bantuan kerana alasan-alasan kecil, semua itu dijangka akan memberi kesan kepada tahap penerimaan rakyat terhadapnya.

Kalau diperhatikan juga, watak Muhyiddin yang banyak bersembunyi dan berselindung sekarang ini tidak ubah seperti apa yang dilakukan Najib Razak sebelum PRU14 lalu.

Ketika itu, jika ada majlis atau program yang dihadirinya, Najib hanya bercakap secara sehala dan tiada wartawan boleh mendekati atau bertanya soalan kepadanya selepas majlis berakhir.

Ketika itu juga, diampu dengan pelbagai kenyataan daripada penganalisa politik, pensyarah dan pusat-pusat kajian yang menyanjung dan meramalkannya akan menang besar, Najib akhirnya terbuai dengan penyakit syok sendiri dan seolah-olah dirinya tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa.

Tetapi, apakah jadi kepada Najib, UMNO dan BN pada PRU14 lalu?

Dengan Muhyiddin mula dijangkiti penyakit yang sama, malah sanjungan dan pujian terhadapnya juga agak berlebihan, padah yang sama tidaklah mustahil akan menimpa juga.

Lebih-lebih lagi, selain tiada pembaharuan dari segi meningkatkan pendapatan rakyat yang diperkenalkannya sejak enam bulan lalu, cabaran ekonomi yang lebih parah, malah Muhyiddin juga bukan seorang yang cukup sihat daripada amukan kanser dalam tubuhnya sehingga timbul dakwaan cergasnya beliau hanya selama empat jam saja dalam sehari, sebenarnya cukup menghairankan bilamana pujian datang melantun-lantun terhadapnya.

Itu belum lagi diambil kira bagaimana kedudukannya majoriti kerajaannya sekarang hanya ada dua undi, cara membentuk kerajaan yang dipertikaikan, UMNO tetap berkeras tidak mahu berbahagi kerusi dan Bersatu pula hampir tiada jentera akar umbi untuk menghadapi PRU akan datang nanti.

Atas semua persoalan itu, tentu saja agak menghairankan bagaimana Muhyiddin digambarkan lebih diterima rakyat dan diyakini mampu terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang.

Hakikatnya, Muhyiddin tidak layak diberi apa-apa pujian sepanjang enam bulan menjadi Perdana Menteri ini kerana tiada apa-apa yang luar biasa dilakukannya, bahkan program bantuan Covid-19 yang diumumkannya adalah pendekatan yang diambil oleh semua kerajaan di seluruh dunia, bukan di Malaysia semata-mata. (Shahbudindotcom 05/09/2020)

Tiada ulasan: