"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki mengaku salah ugut tikam isteri tolak hubungan seks

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu menikam isterinya kerana menolak permintaan melakukan hubungan seks, Mei lalu.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faidros Mustafa, 41, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan ketakutan terhadap isterinya, Rohani Mohamed Kassim, 32, selepas wanita itu enggan melakukan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan pada 9 malam di sebuah rumah beralamat di Balai Panjang, Melaka Tengah, pada 9 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan, lapor Kosmo.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut menikam perut isterinya itu sekiranya wanita tersebut enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks.

Tertuduh mempunyai dua orang anak turut memaksa isterinya untuk mengambil dadah jenis syabu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf dan tempoh penjara diambil kira daripada tarikh ditangkap iaitu 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Tiada ulasan: