"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak nak ‘langkah’ apa lagi dah, wakil rakyat BN beritahu Wan Saiful

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional menepis dakwaan pemimpin Bersatu bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim tidak stabil kerana boleh diugut gabungan itu pada bila-bila masa.

Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli, berkata gerakan seperti Langkah Sheraton tidak akan berulang kerana BN tidak nak terlibat dengan cubaan menggulingkan kerajaan.

“Kita tak nak terlibat dalam ‘langkah’ apa-apa lagi. Kita fokus pada titah Agong (kerajaan perpaduan). Kita tak nak ‘langkah-langkah’ apa lagi dah,” katanya kepada FMT.

Shamsulkahar menjelaskan BN akur tidak ada parti yang memperoleh jumlah kerusi secukupnya pada PRU lepas justeru Yang di-Pertuan Agong menyeru kerajaan perpaduan diusahakan demi kestabilan.

Tegasnya, pengalaman bertukar perdana menteri akibat percaturan segelintir pihak tidak harus berulang.

“Kita tak mahu berterusan ‘politicking’ sebegini. Cukuplah pengalaman macam dulu, empat tahun tiga perdana menteri.”

“Rakyat siapa nak jaga jika leka berpolitik saja?” soalnya, mengingatkan keutamaan mestilah ekonomi dan kesejahteraan.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, sebelum ini mendakwa pentadbiran Anwar masih tidak stabil dan boleh diugut BN – situasi sama ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Seorang lagi wakil BN bagaimanapun tidak terkejut dengan kenyataan Wan Saiful itu.

“Memang sebagai pembangkang dia akan cakap begitu,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Khaled Nordin.

Anwar memimpin kerajaan perpaduan melibatkan Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah, serta disokong wakil rakyat Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia, dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

Perdana menteri mengumumkan sidang pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember akan jadi medan mengesahkan keabsahan kerajaan perpaduan.

Tiada ulasan: