Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
KOTA BHARU: Sebanyak 13 stesen minyak, terutama di kawasan sempadan dikenakan tindakan dengan kebanyakannya dipercayai bersekongkol dalam aktiviti penyeludupan minyak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata jumlah itu direkodkan sepanjang Januari sehingga bulan ini.
"Berdasarkan statistik, jumlah tahun ini meningkat berbanding tahun lalu hanya tujuh kes sepanjang tahun.
"Semua stesen minyak berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang antara lain kesalahan dilakukan adalah kerana membenarkan pelanggan mengisi minyak ke dalam tong tanpa sebarang kebenaran yang sah atau menjual melebihi kuantiti yang dibenarkan," katanya.
Pada masa sama, KPDN turut menahan seramai 109 penyeludup di bawah akta yang sama tahun ini dengan kebanyakannya adalah penyeludup minyak.
"Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 147 kenderaan disita termasuk sebuah kenderaan asing dan nilai rampasan keseluruhan membabitkan sebanyak RM2.7 juta.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM379,000 adalah nilai rampasan membabitkan barang kawalan termasuk petrol," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPDN akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam menangani penyeludupan barangan bersubsidi termasuk petrol.
"Kerjasama dengan agensi di sempadan amat penting memandangkan KPDN sendiri berdepan kekangan keanggotaan dengan sempadan Kelantan-Thailand yang begitu terbuka.
"Justeru, kita mengingatkan pengusaha stesen minyak terutama di kawasan sempadan supaya tidak bersekongkol dalam aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi dan tindakan tegas akan diambil," katanya.
Pada masa sama, katanya, rondaan dan pemantauan statik di stesen-stesen sempadan oleh pegawai dan anggota KPDN bermula awal bulan ini diyakini mampu mengekang kegiatan penyeludupan minyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan