FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pengurus bangunan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan menyamar sebagai ketua polis Johor untuk melepaskan pesalah dengan sejumlah bayaran.
Berita Harian melaporkan A Ganasean, 51, mengaku bersalah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim yang kemudiannya mengenakan denda terbabit.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang individu dengan menyamar Ketua Polis Johor M Kumar di Bandar Baru Sentul pada 8.35 malam 6 Mei lalu.
Ganasean didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memperkenalkan diri sebagai Kumar kepada individu daripada agensi penguatkuasaan dan menawarkan RM1,500 untuk pembebasan setiap 11 tahanan.
Peguam S Narasimhan merayu anak guamnya dijatuhkan denda minimum tanpa pemenjaraan kerana menanggung isteri dan lima anak, termasuk dua yang masih bersekolah.
“Tertuduh malu dengan isteri dan anak kerana melakukan kesalahan itu, selain kesal, insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya.”
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan tertuduh sengaja menyamar ketua polis Johor demi keuntungan diri tidak boleh dipandang ringan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan