Elill Easwaran
SHAH ALAM: Seorang Adun Bersatu yang menyuarakan tentangan terhadap pembangkang menjelang PRK di Kuala Kubu Baharu mendakwa beliau dikhianati parti itu, terutama mereka yang memegang jawatan kepimpinan.
Mengimbau kembali rundingan kerusi dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU ke-15 pada 2022, Abdul Rashid Asari berkata Bersatu dan PAS telah bersetuju untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Selangor.
Gerakan pula akan bertanding empat kerusi manakala empat lagi akan dipertahankan oleh penyandang Ahli Parlimen ketika itu.
Pada saat-saat akhir, PAS memutuskan untuk bertanding di Kapar juga, kerusi yang secara tradisinya milik Bersatu, kata Rashid.
“Saya berjuang keras untuk Kapar kekal sebagai kerusi Bersatu kerana jika PAS mengambilnya, mereka akan mengekalkannya sehingga kiamat,” katanya kepada FMT.
Dr Halimah Ali daripada PAS memenangi kerusi Parlimen itu dalam pertembungan tujuh penjuru.
Rashid, Adun Selat Klang, tidak menyatakan siapa yang akan mewakili partinya di kerusi itu sekiranya usahanya berjaya.
Bagaimanapun, beliau berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi PN, boleh campur tangan tetapi memilih untuk berdiam diri.
“Apa yang anda akan lakukan jika anda berada di tempat saya?”
Rashid turut memetik satu lagi peristiwa yang mana katanya, beliau mengemukakan 22 nama untuk dipertimbangkan sebagai ketua bahagian semasa masih bertanggungjawab untuk bahagian negeri Bersatu.
Menurutnya, hanya lima dipilih manakala baki tempat diberikan kepada mereka yang sealiran dengan pemimpin tertentu – kumpulan yang disifatkannya sebagai kartel.
“Selepas bekerja dengan parti selama beberapa tahun, semua pendapat saya tidak diendahkan dan saya rasa dikhianati,” katanya.
Bersatu ditubuhkan oleh Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2016. Ia didaftarkan pada 2017.
Rashid mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada Mac tahun ini. Baru-baru ini beliau digantikan oleh bekas menteri besar Selangor Azmin Ali sebagai ketua Bersatu negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan