"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas askar jumpa makhluk asing minta alat ganti

KOSMO
Makhluk asing tersebut dikatakan meminta bantuan mengenai alat ganti kenderaan angkasanya. – Getty Images
WASHINGTON –  Seorang bekas anggota Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mengaku bahawa  dia  bertemu dengan makhluk asing, demikian menurut pakar objek terbang tidak dikenali (UFO), Courtney Marchesani seperti laporan akhbar Daily Star semalam.

Marchesani menceritakan demikian ketika mendedahkan kisah Jason Sands. Bekas anggota USAF itu  mendakwa bahawa Pentagon menjalankan program kejuruteraan rahsia melibatkan teknologi makhluk asing.

Kata Marchesani, Sands mengaku pernah  bekerja untuk sebuah pasukan rahsia ditugaskan untuk mencari dan menyiasat nahas UFO.

Menurutnya, Sands mengalami pertemuan pelik dengan makhluk asing berhampiran kawasan larangan dikenali sebagai  Area 51 di negeri Nevada.

“Terdapat konvoi yang meninggalkan Nellis (pangkalan USAF di selatan Nevada) dan mereka diberitahu oleh komander konvoi supaya  tidak bercakap dengan sesiapa di gurun Nevada.

“Namun, ada ‘seseorang’ dilihat berjalan bersendirian di jalan raya dan dia  kelihatan letih, menyebabkan konvoi tentera berhenti.

“Sands berada di tempat duduk penumpang. Sands menurunkan tingkapnya untuk bercakap dengan orang itu dan bertanya sama ada dia memerlukan bantuan.

“Namun, individu berkenaan sebenarnya bukan manusia. Ia adalah makhluk lain. Ia bertanya kepada Sands di mana ia boleh mendapatkan alat ganti untuk kapal angkasanya,” kata Marchesani dalam segmen audio siar, Disclosure Team.

Tambah Marchesani, Sands kemudian mencadangkan agar ‘pengembara angkasa’ itu meminta bantuan di kawasan Area 51.

“Namun, ia menjawab ‘tidak mahu’, dan itu sahaja cerita yang saya dengar,” ujarnya.

Sands sebelum ini dikenali sebagai individu kontroversi yang banyak membuat dakwaan mengenai UFO dan kaitannya dengan USAF. – AGENSI 

Tiada ulasan: