"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga emas maut dilanggar kereta mengundur

BERNAMA

Johor Bahru: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dilanggar keretanya sendiri yang bergerak dalam keadaan mengundur, dipercayai akibat terlupa menarik brek tangan, selepas memarkir kenderaan itu di kediamannya di Taman Sri Amar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam insiden pada 10.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan selepas dilanggar serta diseret kira-kira 10 meter ke jalan raya.

"Kematian mangsa telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Ismail dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pada masa sama, kita memohon agar saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-806 8350," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Komander Operasi Hadi Mohamad pula berkata, ketika pihaknya iaitu pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dimaklumkan, kereta Perodua Axia bergerak dalam keadaan mengundur ketika mangsa hendak membuka pintu pagar rumahnya.

"PKO bertindak mengangkat mangsa yang ditemukan di antara kereta dan tembok rumah itu dengan menggunakan pengusung sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," menurut beliau dalam kenyataan berasingan.

Tiada ulasan: