"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid Ibrahim: Tiba masa Muhyiddin, Hadi undur

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata presiden Bersatu dan PAS, Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang sepatutnya letak jawatan selepas Perikatan Nasional (PN) kalah pada PRK Kuala Kubu Baharu semalam.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao meraih 14,000 undi dengan menang majoriti 3,869 undi pada PRK itu, menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut (10,131).

Dua calon lain – Nyau Ke Xin dari bebas dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin, hilang deposit.

Dalam catatan di X, Zaid berkata Muhyiddin dan Hadi, kedua-dua berumur 76 tahun dinasihatkan memberi laluan kepada pemimpin muda yang segar idea baharu. Muhyiddin adalah pengerusi PN, manakala Hadi timbalannya.

“PH menang besar kerana PN tiada apa nak ditawarkan, tiada langsung. Pemimpin terlalu tua, bukan sahaja dari segi idea malah idea,” katanya.

“Muhyiddin kerap bercakap tentang pencapaiannya sebagai pemimpin negara (ketika menjadi perdana menteri), namun itu masa sudah berlalu. Apa yang beliau mahu tawarkan pada masa depan? Tidak ada. Sudah tiba masa untuk berundur.

“Hadi hanya bercakap tentang ketakutan terhadap DAP (dan) apa yang berlaku kepada orang Melayu di Singapura. Taktik menakut-nakutkan ini tidak lagi terpakai. Sudah tiba beliau meletak jawatan.”

Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tahun lalu, Muhyiddin pada mulanya mengumumkan enggan mempertahankan jawatan presiden, namun menarik semula keputusannya, yang dilihat cubaan Ahli Parlimen Pagoh itu kekal mengetuai PN dengan harapan kembali menjadi perdana menteri.

Hadi pula berdepan masalah kesihatan berlarutan – dengan pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) beberapa kali bagi rawatan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus mengundang cakap-cakap pemimpin lain berpotensi menggantikannya.

‘Bersatu kurang fokus, PAS tiada tawaran induk ekonomi’

Zaid berkata, Bersatu kurang fokus dan tidak berupaya memaparkan parti itu mampu memimpin negara pada masa depan.

Katanya, parti itu ‘tidak menawarkan perkara baharu’ kecuali perikatan politik dengan parti kecil seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Beliau juga berkata, ulama PAS juga perlu meletak jawatan bagi membuka laluan kepada pimpinan muda meremajakan parti berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, berkata PAS gagal merencanakan Islam sebagai pencetus sosioekonomi dan masih gagal menawarkan pelan induk ekonomi yang mampu meraih undi.

“Bersatu dan PAS mesti mula menukar pimpinan mereka sekarang juga,” katanya.

“Panggil persidangan luar biasa (dan) ketengah satu set pemimpin politik yang boleh memberi saingan kepada Anwar Ibrahim.”

------

Kami masih perlukan Muhyiddin, Hadi, pemimpin PN jawab Zaid

FMT Reporters

Terdahulu bekas menteri undang-undang berkata presiden Bersatu dan PAS sepatutnya meletak jawatan selepas PN kalah PRK Kuala Kubu Baharu.
PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang wajar meneruskan kepimpinan mereka di sebalik cadangan supaya presiden Bersatu dan PAS meletakkan jawatan selepas Perikatan Nasional (PN) kalah pada PRK Kuala Kubu Baharu semalam.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata cadangan itu akan memecah-belahkan PN kerana kedua-dua negarawan tersebut adalah pengikat kepada perpaduan ahli dalam gabungan berkenaan.

Katanya, biarlah Bersatu dan PAS meneliti semula pendekatan serta strategi politik mengikut acuan sendiri.

“Kekalahan di PRK Kuala Kubu Baharu bukan kayu ukur sebenar kekuatan semasa PN kerana pertembungan kedua-dua pihak dalam padang demokrasi tempang yang senget, condong kepada kerajaan Madani menatijahkan keputusan status quo.

“PN akan perbaiki kelemahan dan terus perjuangkan nasib rakyat daripada terus ditindas dasar-dasar sosio, politik ekonomi liberal yang merugikan Islam, Melayu dan Malaysia pada jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, berkata Muhyiddin dan Hadi sepatutnya meletak jawatan selepas PN kalah pada PRK semalam.

PRK itu dimenangi Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 3,869 selepas calonnya daripada DAP Pang Sock Tao meraih 14,000 undi, menewaskan Khairul Azhari Saut mewakili PN yang mendapat 10,131 undi.

Manakala calon bebas Nyau Ke Xin memperoleh 188 undi dan Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia mendapat 152 undi.

Dalam catatan di X, Zaid berkata Muhyiddin dan Hadi, kedua-duanya berusia 76 tahun dinasihatkan memberi laluan kepada pemimpin muda yang segar idea baharu. Muhyiddin adalah pengerusi PN, manakala Hadi timbalannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata idea serta kepimpinan Muhyiddin dan Hadi masih diperlukan PN.

Katanya, pencapaian PRU lalu adalah manifestasi sokongan rakyat kepada kepimpinan mereka.

“Kalau faktor umur saya lihat hampir semua pimpinan parti dah berumur termasuk perdana menteri (Anwar Ibrahim). Yang penting bukan umur tetapi data kepimpinan dan perjuangan yang hebat menjadi idola pelapis parti,” katanya.

Tiada ulasan: