"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertunjukan fesyen pakaian renang pertama di Arab Saudi

AFP
PERTUNJUKAN tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal. FOTO AFP
PERTUNJUKAN tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal. FOTO AFP
Riyadh: Arab Saudi mengadakan pertunjukan fesyen pertama membabitkan pakaian renang, semalam.

Pertunjukan tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal itu, termasuk 'sut sehelai' dalam warna merah, kuning air dan biru.

Kebanyakan model juga mendedahkan bahu dan sebahagian bentuk badan lain.

"Memang negara ini sangat konservatif tetapi kami cuba menunjukkan pakaian renang elegan yang mewakili dunia Arab.

"Apabila kami datang ke sini, kami difahamkan bahawa pertunjukan fesyen pakaian renang di Arab Saudi adalah detik bersejarah, kerana ia adalah kali pertama diadakan acara sebegitu," kata Qanzal.

Pertunjukan itu berlangsung pada hari kedua Minggu Fesyen Laut Merah yang julung kali diadakan di Pusat Peranginan Laut Merah St Regis, yang terletak di luar pantai barat Arab Saudi.

Resort itu adalah sebahagian daripada Red Sea Global, salah satu projek mega menerusi program reformasi sosial dan ekonomi Wawasan 2030 Arab Saudi.

Wawasan 2030 Arab Saudi dipantau oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Putera Mohammed, yang menjadi pewaris takhta pertama pada 2017, memulakan satu siri pembaharuan sosial yang dramatik dalam usaha untuk 'melembutkan imej keras' Arab Saudi.

Perubahan itu termasuk mengetepikan 'polis agama', memperkenalkan semula pawagam dan menganjurkan festival muzik dengan membenarkan wanita dan lelaki bercampur.

Shouq Mohammed, seorang pempengaruh fesyen Syria yang menghadiri pertunjukan pada Jumaat itu berkata, ia tidak menghairankan memandangkan percubaan Arab Saudi untuk mengembangkan sektor fesyen dan pelancongannya.

Raphael Simacourbe, seorang pempengaruh Perancis yang turut hadir berkata, tiada apa-apa yang berbahaya pada pandangannya, tetapi dalam konteks Arab Saudi, ia adalah satu pencapaian besar.

"Itu sangat berani daripada mereka untuk melakukan (acara) itu hari ini, jadi saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Tiada ulasan: