"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas sarjan wanita didenda RM8,000 kerana menerima rasuah RM6,000 untuk menutup kes cabul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas anggota polis wanita berpangkat sarjan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang juga bekas penolong pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Nur Mastisha Maidinsha, 39, selepas dia menukar pengakuan bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda, menurut Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu ada hubungan dengan kerja rasmi bekas anggota polis itu.

Kesalahan dilakukan di IPK Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9 dekat Cheras, 8 malam serta 8.05 malam pada 1 dan 12 Oktober 2022 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Atiqah berkata, kesalahan rasuah itu merosakkan reputasi, mengurangkan kepercayaan masyarakat serta ‘menconteng arang ke muka’ pasukan polis.

“Bagi fakta kes yang diakui, tertuduh memperoleh wang suapan untuk dirinya supaya tidak mengambil tindakan ke atas suspek jenayah seksual.

“Faktor kepentingan awam antara pertimbangan utama mahkamah dalam memutuskan hukuman yang sesuai terhadap tertuduh,” katanya.

Tiada ulasan: