"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada pengkhianat?: Semua tutup seminggu sebelum operasi

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
Dua lelaki dipercayai warga asing melepak di kaki lima ketika tinjauan di kawasan perniagaan Pandan Indah di Ampang Jaya kelmarin.
AMPANG JAYA – Penutupan premis kira-kira seminggu sebelum operasi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Pandan Indah di sini Isnin lalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk kawasan tersebut.

Mereka mendakwa situasi itu berlaku dengan ketara beberapa hari menjelang hari operasi de­ngan kebanyakan kedai menjual barang basah dan runcit yang dikendalikan warga asing ditutup lebih awal.

Wakil penduduk Flat Pandan Mewah yang mahu dikenali sebagai Hazrul berkata, sebelum ini kedai-kedai tersebut beroperasi seperti biasa sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada maklumat mengenai kehadiran anggota penguat kuasa dapat dihidu lebih awal.

“Kami perasan ada kedai yang mula tutup kira-kira seminggu sebelum operasi sedangkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa sebelum ini.

“Apabila operasi dijalankan, kawasan tertentu jadi lebih le­ngang. Kita tidak tahu sama ada mereka (warga asing) sudah mendapat maklumat atau berlaku secara kebetulan. Sudah tentu keada­an ini menimbulkan per­soalan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Hazrul berkata, situasi itu membimbangkan penduduk ke­rana operasi penguatkuasaan sepatutnya dapat mengenal pasti keseluruhan rangkaian warga a­sing yang tinggal dan menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk tidak mempunyai sebarang masalah dengan warga asing yang memiliki dokumen yang sah, namun keberadaan PATI perlu dipantau terutama yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Penduduk mahu kawasan ini selamat. Kalau mereka ada dokumen yang sah dan menjalankan perniagaan mengikut peraturan, itu tidak menjadi masalah.

“Tetapi kalau ada yang tinggal atau berniaga secara haram, kita harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajar­nya,” katanya.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Rizal berkata, ope­rasi penguatkuasaan ke atas PATI di kawasan tersebut perlu dilakukan secara berkala, bukannya selepas menerima aduan atau masalah menjadi serius.

Katanya, terdapat kawasan tertentu yang dilihat menjadi tumpuan warga asing dan ia bukan ‘pemandangan’ baharu bagi penduduk setempat.

“Bila operasi dijalankan, memang ada perubahan, tetapi selepas itu kita nampak warga a­sing masih ada di kawasan ini. Jadi saya amat berharap operasi susulan dan pemantauan dapat dilakukan supaya mereka tidak kembali ke sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Aina pula berharap supaya saluran komunikasi yang lebih mudah antara komuniti setempat dengan pihak berkuasa dapat diwujudkan dalam usaha membanteras kehadiran PATI di kawasan ber­kenaan.

Katanya, penduduk di kawasan itu lebih memahami kea­daan sekeliling dan akan segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

“Kita bukan mahu mengganggu sesiapa, tetapi jika terdapat aktiviti yang melanggar undang-undang, sepatutnya ada saluran untuk penduduk melaporkan aduan dengan mudah.

“Yang penting, maklumat tersebut diambil tindakan selain identiti pemberi maklumat di­lindungi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! di sekitar Pusat Komersial Pandan Indah dan Taman Pandan Mewah mendapati masih terdapat warga asing termasuk yang menjalankan aktiviti perniagaan.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, ada golongan tersebut yang dilihat cuba mengelak daripada dirakam kamera apabila segera beredar dari lokasi sejurus menyedari kehadiran kehadiran wartawan Kosmo!.

Situasi itu secara tidak langsung menunjukkan kawasan tersebut masih menjadi tumpuan warga asing tidak sampai seminggu selepas operasi dilaksanakan pihak berkuasa.

Pada Rabu lalu Kosmo! me­laporkan kawasan Pandan Indah yang menjadi tumpuan warga a­sing termasuk etnik Rohingya seperti yang didedahkan akhbar ini pada 12 Jun lalu digempur pihak berkuasa.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 9 pagi itu, seramai 217 warga asing diperiksa dengan 33 orang dipercayai PATI terdiri daripada 16 warga Myanmar, Bangladesh (14), India (2) dan Pakistan (1) ditahan.

Pemeriksaan pihak berwajib turut mengesan kesalahan berkaitan premis perniagaan dan bekalan elektrik.

Tiada ulasan: