K. Parkaran
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Teluk Intan memerintahkan sebuah sekolah dan dua guru membayar ganti rugi RM129,040 kepada seorang pelajar Tingkatan 5 selepas didapati cuai dalam insiden remaja itu melecur akibat terkena bubur lambuk panas ketika program sekolah pada 2022.
Hakim Gan Peng Kun dalam penghakimannya semalam berkata, defendan cuai kerana membenarkan kelas matematik dijalankan di kawasan memasak ketika program itu berlangsung, selain melengahkan pemindahan pelajar berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian di SMK Seri Intan, Teluk Intan, Perak.
M Thanaletchumi, yang memfailkan saman bagi pihak anak perempuannya, menamakan pengetua sekolah, dua guru dan kerajaan sebagai defendan.
Dalam saman difailkan dua tahun lalu, pelajar itu yang kini berusia 17 tahun berkata kejadian berlaku pada April 2022 ketika dia diarahkan menyertai aktiviti memasak bubur lambuk.
Katanya, dia terjatuh atas lantai yang licin selepas ditolak seorang pelajar kelas lain, menyebabkan tangan kirinya terjatuh ke dalam periuk bubur yang sedang mendidih.
Pelajar itu berkata, kejadian menyebabkan trauma susulan parut kekal, selain memaksanya memakai pakaian berlengan panjang bagi menutup kecederaan tersebut. Dia juga malu dan hilang semangat sejak kejadian itu.
Gan menganugerahkan ganti rugi teruk RM100,000, RM5,000 bagi kecederaan melecur pada tangan dan lengan kiri, RM24,000 bagi parut serta RM40 bagi kos mendapatkan laporan perubatan.
Peguam Manoharan Malayalam mewakili plaintif, manakala Peguam Persekutuan Hamida Abdul Kadir hadir bagi pihak kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan