Azizi Majid
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berstatus suami dan isteri orang kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik sewa di Pasir Gudang, di sini, awal pagi tadi.
Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas penguat kuasa menerima aduan awam berhubung kehadiran pasangan berkenaan di premis rumah kedai dua tingkat terbabit.
"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik, seorang wanita berusia 20-an membuka pintu selepas beberapa minit diketuk.
"Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki berada berusia 30-an di dalam bilik berkenaan selain dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan satu tahun yang sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di bandar raya ini, manakala wanita berkenaan tidak bekerja buat sementara waktu kerana menjaga anak.
Katanya, pasangan itu juga mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan ketika disoal siasat.
"Lelaki terbabit mendakwa mempunyai masalah rumah tangga dan tidak lagi tinggal bersama isterinya, manakala wanita itu pula mendakwa sedang dalam proses perceraian dengan suaminya.
"Lelaki terbabit turut mendakwa membantu wanita berkenaan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan dengan menanggung sewa bilik serta perbelanjaan makan minum," katanya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu ketika lelaki berkenaan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.
"Hubungan mereka kemudian menjadi semakin rapat selepas masing-masing berkongsi masalah rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk tinggal bersama di bilik berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
"Dua kanak-kanak yang berada di dalam bilik itu adalah anak wanita berkenaan hasil perkahwinannya yang sah," katanya.
Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan