Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 Jun untuk mendengar permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes liwatnya. Peguam Anwar, Sankara Nair berkata kes itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Rabu lepas, Anwar memfailkan satu notis usul memohon perintah mahkamah supaya pendakwa raya membekalkan segala dokumen dan bahan bukti sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula pada 1 Julai. Walaupun peguam Anwar meminta bahan-bahan kes seawal tahun lalu, Pendakwa Raya masih belum menyerahkan rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, dan kenyataan daripada saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar memohon kepada mahkamah melepas dan membebaskan beliau dengan segera daripada pertuduhan itu atau menggantung perbicaraan jika pendakwa raya tidak mematuhi perintah mahkamah itu untuk membekalnnya dengan dokumen berkenaan. -TVAntara.com.my- |
Kes Anwar didengar 22 Jun
Apabila SPRM Minta Derma Dari UMNO…
Kesanggupan Pengarah SPRM Negeri Rozaini Idris memohon dan menerima wang itu daripada pejabat Menteri Besar menjejaskan lagi kredibiliti SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin.
Beliau berkata “urusniaga” antara SPRM dan pejabat Menteri Besar itu hanya menguatkan pesepsi selama ini bahawa SPRM bersikap pilih kasih dengan menutup hampir semua aduan rasuah terhadap Datuk Seri Muhammad.
Antara tuduhan-tuduhan yang dihadapi Muhammad Hassan adalah pembabitan ahli keluarga dalam pentadbiran kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan politik wang.
“Laporan bukan sahaja dibuat oleh individu atau pembangkang, tetapi laporan yang dibuat dari kumpulan pemerintah juga tidak dilayan,” katanya.
Badrul berkata Pengarah SPRM Negeri Sembilan telah menghantar sepucuk surat memohon sumbangan menampung perbelanjaan bagi menghantar kakitangannya untuk menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 11 hingga 16 Jun 2009,” kata Badrul.
Muhammad Hassan bingkas bersetuju dan telah memberikan cek bernilai RM20,000 kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan, kata Badrul.
“Ini jelas melanggari etika,” kata Badrul, yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Sembilan.
“Memohon, menyumbang dan menerima sumbangan ini telah menjadi kesalahan dari segi etika. Menteri Besar dan SPRM mempunyai pertembungan kepentingan,” tambah Badrul.
-TVAntara.com.my-
SAMM: Siasat Musa Hassan
Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.
“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.
Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.
Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.
Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.
Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.
Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.
Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.
Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.
“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.
Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.
Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul.
-TVAntara.com.my-