FMT Reporters
Ia menyusul keputusan Yang Dipertuan Besar membatalkan pelantikan 10 ahli exco semalam.

Saiful Yazan Sulaiman, Sufian Maradzi, Zaidy Abdul Kadir, Koh Kim Swee, Ridzuan Ahmad
Lima Adun antara dilapor dipanggil Jumaat lalu menghadap di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
PETALING JAYA: Empat Adun daripada Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada komponen Perikatan Nasional (PN), Wawasan, dilapor dikaitkan dengan spekulasi mengisi jawatan exco baharu Negeri Sembilan.
Ia menyusuli keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 exco semalam.
Kosmo memetik empat Adun BN iaitu Saiful Yazan Sulaiman (Johol), Sufian Maradzi (Seri Menanti), dan Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang) daripada Umno, serta Koh Kim Swee (Repah) daripada MCA.
Wakil Wawasan terkait dengan spekulasi tersebut ialah Adun Gemas dua penggal, Ridzuan Ahmad.
Laporan yang memetik sumber itu turut menyebut barisan Adun terbabit sudah dipanggil menghadap di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Jumaat lalu.
Semalam, pihak istana Negeri Sembilan menyatakan Tuanku Muhriz memutuskan memecat 10 exco kerana melanggar sumpah jawatan dan ikrar taat setia di hadapan Yang Dipertuan Besar pada 7 Ogos.
Daripada jumlah itu, tujuh daripada Umno, manakala masing-masing seorang MCA, Wawasan, dan PAS.
Minggu lalu, exco terbabit mengeluarkan kenyataan bersama yang didakwa mengesahkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar. Menteri Besar Ismail Lasim menyokong kenyataan tersebut sehari kemudian.
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menolak kenyataan itu sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah, serta menegaskan Tuanku Muhriz kekal pemerintah negeri.
Jabatan Peguam Negara (AGC) turut menyatakan kenyataan itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana menteri besar dan exco tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan kedudukan pemerintah negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan