"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan terhadap kedaulatan Perlembagaan Institusi Beraja Negeri Sembilan dan kedaulatan undang-undang

Kenyataan Media

Sepuluh bekas Presiden Majlis Peguam mengecam tindakan EXCO Negeri Sembilan yang didakwa menggulingkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir secara sepihak pada 16 September 2026, menyifatkannya sebagai serangan haram terhadap institusi raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

KITA adalah sebuah negara yang berlandaskan undang-undang. Namun, beberapa peristiwa sejak beberapa hari lalu telah mencetuskan kekacauan terhadap kesucian kedaulatan undang-undang dan institusi-institusi yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
 
Pada 16 September 2026, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, kononnya telah digulingkan secara sepihak dan tanpa adat istiadat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, tanpa sebarang alasan yang dinyatakan, proses wajar (due process), atau siasatan.
 
Tindakan EXCO yang dilaporkan itu merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), serta serangan langsung dan menyalahi undang-undang terhadap institusi raja berperlembagaan.

Pemecatan seorang raja berperlembagaan yang sedang memerintah merupakan satu langkah luar biasa yang membawa akibat perlembagaan yang paling berat. Kepentingan politik, muslihat di belakang tabir, dan dekri eksekutif secara sepihak tidak sekali-kali boleh menggantikan proses wajar. Di Negeri Sembilan, proses pemecatan itu ditadbir secara ketat oleh Perkara UUTKNS 1959, yang menetapkan tiga syarat.

Syarat pertama untuk memulakan pemecatan Raja Pemerintah adalah penganjuran suatu “siasatan penuh dan lengkap oleh para Undang” bagi memastikan sama ada wujud alasan yang sah dan mencukupi bagi langkah luar biasa sedemikian. Berdasarkan laporan media, tiada sebarang bukti bahawa sebarang siasatan pernah dijalankan. 
 
Tiada pertuduhan atau alasan salah laku yang pernah dimaklumkan kepada umum. Paling penting, nampaknya Duli Yang Maha Mulia tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang tuduhan, apatah lagi diberikan hak asasi untuk didengar.

Percubaan oleh EXCO untuk menegaskan bahawa suatu siasatan telah diadakan tidak tahan diuji, kerana ia hanya dikemukakan secara terlewat dan tanpa sebarang penjelasan mengenai sama ada Duli Yang Maha Mulia telah dimaklumkan atau diberikan sebarang peluang untuk didengar. 
 
Walau apa pun keadaannya, dakwaan siasatan sedemikian tidak boleh dianggap sebagai "siasatan penuh dan lengkap oleh para Undang" seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 10(1) UUTKNS 1959.

Syarat kedua dan ketiga menetapkan bahawa suatu pemasyhuran mesti dimeterai "di bawah tandatangan para Undang dan Menteri Besar". Persoalan serius timbul mengenai kesahan, kewajaran, dan keabsahan dari segi undang-undang berhubung Pemasyhuran bertarikh 19 April 2026 tersebut, yang telah dikecam oleh bekas Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun; dan dinafikan oleh Menteri Besar semasa Dato’ Haji Ismail Lasim, yang menyatakan bahawa beliau menandatanganinya di bawah paksaan, dan berhubung perkara itu beliau telah membuat laporan polis. 
 
Selanjutnya, sekiranya Pemasyhuran tersebut bertarikh 19 April 2026 tetapi hanya ditandatangani oleh Menteri Besar ini pada 3 Ogos 2026, ini menimbulkan persoalan asas mengenai kesahannya, memandangkan beliau bukanlah Menteri Besar pada 19 April 2026.

Pengumuman EXCO pada 16 September 2026 jelas menunjukkan tindakan melampaui kuasa eksekutif yang ketara. EXCO tidak mempunyai mandat perlembagaan, bidang kuasa, atau kuasa untuk melucutkan kedudukan seorang Raja. Sebarang pengisytiharan sepihak sedemikian adalah tindakan ultra vires yang menggoncang asas ketenteraman perlembagaan.

Perlu ditegaskan bahawa ketidaksahan Pemasyhuran tersebut telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang dan, secara berasingan, oleh Jabatan Peguam Negara. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara dan menolak untuk meneruskan pewartaan Pemasyhuran yang dimaksudkan itu.

Kami, yang bertandatangan di bawah, menuntut agar serangan terhadap kedaulatan perlembagaan institusi beraja Negeri Sembilan dan kedaulatan undang-undang ini dihentikan serta-merta dan sepenuhnya. 
 
Kami menggesa sekeras-kerasnya Kerajaan Negeri Sembilan, semua penjawat awam, dan seluruh rakyat Malaysia agar dengan setia menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, memelihara kedaulatan undang-undang, serta menghormati sepenuhnya kedaulatan dan kedudukan perlembagaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan sedang memerintah.

EXCO tidak berada di atas undang-undang, dan tindakannya yang menyalahi undang-undang dalam perkara ini mesti disekat.

Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan dan akhirnya menyelesaikan isu-isu yang membimbangkan ini. Keadaan ini menetapkan satu preseden yang berbahaya kepada institusi raja berperlembagaan dan masa depan negara ini — sebuah negara yang mesti, pada setiap masa, menentukan halatujunya dengan mematuhi undang-undang secara ketat.

Tingkah laku yang tidak wajar dan tidak bermaruah sedemikian, serta kebiadaban yang nyata terhadap undang-undang, mesti dihentikan.

21 September 2026

Mah Weng Kwai
 
Kuthubul Zaman Bukhari
 
Yeo Yang Poh
 
Ambiga Sreenevasan
 
Ragunath Kesavan
 
Lim Chee Wee
 
Christopher Leong
 
George Varughese
 
Salim Bashir
 
Karen Cheah Yee Lynn

Tiada ulasan: