"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki disyaki campak kanak-kanak lima tahun ke sungai hingga maut ditahan

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki mencampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai hingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum bertindak mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

"Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek dapat ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof berkata, pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian kanak-kanak terbabit.

"Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, esok untuk bedah siasat.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: