"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Polis tahan 4 individu bantu siasatan kes bunuh pelarian Myanmar

Bernama

Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun, yang ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di KOta Bharu, Kelantan awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata Pusat Kawalan Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, menerima maklumat berhubung penemuan mangsa pada 12.12 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami luka-luka hiris dan tetak di leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kawasan Taman Desa Kujid, Panji, di Kota Bharu.

“Hasil serbuan, polis menahan empat individu terdiri daripada seorang lelaki Cina serta seorang lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar (Rohingya), berusia antara 22 hingga 38 tahun, bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati kesemua individu yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis turut merampas sebuah Mitsubishi Triton berserta kunci serta empat telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Mohd Yusoff berkata permohonan reman terhadap kesemua suspek telah dibuat di Mahkamah Kota Bharu dan mahkamah membenarkan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Sept.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Bharu di talian 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pihak polis juga menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: